Date: Khamis, September 7, 2023

Lawatan oleh pihak CPAB, JKR ke Kompleks Bandar Pintar Iskandar Malaysia telah diadakan pada 29 Ogos 2023 (Selasa). Lawatan ini dimulakan dengan ucapan kata aluan daripada wakil pemaju Bandar Iskandar Malaysia, Puan Suraya Mohd Derus, Senior Manager Bisnes Development, Cahaya Jauhar Sdn Bhd yang menerangkan serba sedikit tentang pembangunan yang dilaksanakan di Bandar Iskandar Malaysia. Program seterusnya disusuli dengan agenda utama iaitu taklimat ‘Smart Cities Iskandar Malaysia’ oleh Puan Maimunah Jaffar, Director - Lead Technology and Innovation, Iskandar Regional Development Authority (IRDA).

Bandar Pintar Iskandar Malaysia Johor adalah projek yang merangsang nilai tambahan dan sebagai inisiatif untuk memudahkan perniagaan serta meningkatkan kualiti hidup di Iskandar Malaysia. Pembangunan bandar ini memberi tumpuan kepada bidang ekonomi, alam sekitar dan sosial serta menggalakkan pertumbuhan ekonomi pintar, tadbir urus pintar, alam sekitar pintar, mobiliti pintar, insan pintar dan hidup pintar. Bandar pintar juga boleh didefinisikan sebagai bandar yang menggunakan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) serta kemajuan teknologi dan inovasi dalam menangani isu-isu perbandaran bagi meningkatkan kualiti hidup dan pertumbuhan ekonomi, mewujudkan alam sekitar yang mampan dan selamat serta menggalakkan pengurusan bandar yang lebih cekap.

Seramai 26 peserta daripada Unit BIM, yang diketuai oleh YBrs. Ir. Ahmad Ridzuan Bin Abu Bakar selaku Wakil Delegasi CPAB bagi mewakili YBhg. Dato’ Ir. Roslan Bin Ismail, Pengarah Kanan CPAB. Turut serta wakil dari Bahagian Pengurusan Projek Kompleks, CPAB.

Setinggi-tinggi penghargaan diucapkan kepada Cahaya Jauhar Sdn Bhd & pihak Iskandar Regional Development Authority (IRDA) atas kesudian menerima lawatan delegasi CPAB, JKR ke Bandar Pintar Iskandar Malaysia.