Date: Isnin, November 14, 2022

10 November 2022 - Cawangan Perancangan Aset Bersepadu (CPAB) telah menerima kunjungan delegasi Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) yang diketuai oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) iaitu YBhg. Dato’ Aziz bin Bakar. Pihak CPAB yang diterajui oleh Pengarah Kanan YBhg. Dato' Ir Hj Zulkipli bin Hj Nasri dan Pengarah Bahagian Pengurusan Projek Kompleks, Ir Hjh Atikah bt Zakaria@Ya berbesar hati menerima kunjungan ini dan meluangkan masa untuk berkongsi pengetahuan dan pengalaman dalam pelaksanaan BIM di JKR.

Lawatan delegasi yang dihadiri seramai 14 orang pegawai ini merupakan salah satu inisiatif PDC dalam usaha mentransformasikan penggunaan BIM dalam pelaksanaan projek dan pengurusan fasiliti.

Program dimulakan dengan ucapan kata aluan daripada Pengarah Kanan CPAB dan diikuti dengan ucapan daripada Ketua Pegawai Eksekutif PDC. Sebagai tanda penghargaan dan kerjasama, program diteruskan dengan sesi penyerahan dan pertukaran cenderahati oleh kedua-dua pihak serta sesi bergambar.

Sesi perkongsian ilmu dan pengalaman pelaksanaan BIM di JKR dimulakan oleh Ketua Unit BIM, Ir Ahmad Ridzuan b Abu Bakar dan disusuli dengan demo perisian BIM oleh Ruzaireen binti Kamaruzaman (skop Arkitek), Ts. Mohd Zulkifli bin Abdullah (skop Sivil), Noor Asyikin binti Sepiai (skop Struktur), Muhammad Nazmi bin Mat Na’ain (skop Mekanikal), Nur Atira binti Amran (skop Elektrik), Mohamad Dizi bin Che Kadir (skop Kontrak & Ukur Bahan), Norhaslinda binti Mohd Sarif (skop Koordinasi) dan Ir. Ts. Mohd Faiz bin Shapiai (skop Pengurusan Fasiliti).

Delegasi PDC juga berpeluang melawat Studio Latihan BIM untuk melihat keperluan fasiliti ICT yang diperlukan dalam pelaksanaan BIM.

Diharapkan pendedahan dan perkongsian ilmu ini dapat memberi manfaat kepada pihak PDC dalam usaha menyokong inisiatif pendigitalan pengurusan projek dan fasiliti di peringkat industri pembinaan Malaysia.