Date: Jumaat, Julai 8, 2022

Pada 5 Julai 2022, Cawangan Kerja Bangunan Am 2 (CKBA2) dengan kerjasama Kelab Sukan & Kebajikan CKBA2 (SUKEB) telah mengadakan Lawatan Teknikal Ke Tapak Projek PNB Menara Merdeka 118, Kuala Lumpur, yang merupakan bakal menara kedua tertinggi di dunia. Seramai 15 orang telah mengikuti program ini yang diketuai oleh Pengarah CKBA 2, Ketua Bahagian Pengurusan Projek dan kumpulan pelaksana.

Objektif program ini adalah untuk memberi pendedahan teknikal kepada peserta berkaitan pengurusan dan pemantauan projek serta penggunaan teknologi pembinaan berskala besar.

Taklimat dan pembentangan telah disampaikan oleh Tuan Syed Alwee bin Syed Abd Kadir yang merupakan Head Engineering Services, PNB Merdeka Ventures Sdn. Bhd. (PMVSB) bertempat di bilik mesyuarat pejabat tapak projek. Taklimat tersebut merangkumi sejarah latar belakang  projek, fasa perancangan dan rekabentuk, fasa pembangunan, penggunaan teknologi pembinaan dan pengurusan projek.

Secara amnya Menara Merdeka 118 merupakan satu penanda aras yang baru dalam industri pembinaan di Malaysia sebagai menara ikonik negara dan juga merupakan menara kedua tertinggi di dunia selepas Burj Khalifa, Dubai.

Selain dari perkongsian ilmu dan pengalaman oleh pihak PNB Merdeka Ventures Sdn. Bhd.  (PMVSB), program ini telah dimanafaatkan sebagai platform untuk bertukar pandangan berkaitan amalan pengurusan projek oleh JKR dan PMVSB dalam penambahbaikan kualiti pengurusan, teknikal dan perkhidmatan di sektor pembinaan.

Warga CKBA2 amat menghargai kerjasama jitu dan merakamkan jutaan terima kasih kepada  pihak PMVSB yang terlibat dalam menjayakan program lawatan ke menara ikonik ini.  Lawatan ini telah memberikan satu pengalaman yang amat berharga buat para pesertanya.