Date: Jumaat, Disember 31, 2021

LAWATAN TEKNIKAL PASCA BANJIR DI BEBERAPA LOKASI DI PAHANG OLEH KETUA PENGARAH KERJA RAYA MALAYSIA

Lawatan Teknikal Pasca Banjir di beberapa lokasi di Pahang oleh YBhg. Datuk Ir. Hj. Mohamad Zulkefly Bin Sulaiman, Ketua Pengarah Kerja Raya (KPKR) ke Jalan FT10 (Jalan Gemas – Temerloh) telah diadakan pada 28hb Disember 2021. Sesi lawatan turut dihadiri oleh YBhg. Dato' Ir. Haji Ahmad Redza Bin Ghulam Rasool, Timbalan Ketua Pengarah Kerja Raya (Sektor Infra), YBrs. Ir. Ibrahim Bin Esa Pengarah Cawangan Senggara Fasiliti Jalan, YBrs. Ir. Haji Abd Rahman Bin Pandi Pengarah Cawangan Kejuruteraan Cerun dan YBhg. Dato’ Ir. Ts. Hafizah binti Zakaria Pengarah JKR Negeri Pahang.

Sesi lawatan kerja oleh YBhg. Datuk KPKR untuk meninjau jalan runtuh di Jalan Persekutuan Seksyen 56 FT068 Jalan Kuala Lumpur – Bentong (Jalan Lama Bentong). Pihak JKR telah menjalankan pemeriksaan dan telah melaksanakan penutupan jalan bermula dari 20 Disember 2021 sehingga kini.

Penutupan jalan dilaksanakan bagi memberi laluan kepada kerja-kerja pembaikan kekal di laluan tersebut.

Lawatan kedua adalah di lokasi jalan runtuh di Jalan Persekutuan Seksyen 16 FT08 Jalan Bentong -Gua Musang. Pihak JKR telah menjalankan pemeriksaan dan telah melaksanakan penutupan jalan bermula dari 24 November 2021 sehingga kini. Penutupan jalan dilaksanakan bagi memberi laluan kepada kerja-kerja pembaikan kekal di laluan tersebut.

Seterusnya, YBhg. Datuk KPKR meninjau beberapa lokasi seperti laluan FT02 seksyen 216.2 (Taman Mentakab Indah) dan laluan FT87 sec 2.4 (Kuil Mentakab). Aras jalan untuk laluan FT02 ini rendah menyebabkan jalan mudah ditenggelami limpahan air Sungai Semantan. Bagi laluan FT87, jalan mengalami rosak teruk akibat arus sungai yang kuat dari limpahan air Sungai Semantan. Kerja-kerja kecemasan telah dilakukan oleh konsesi.

Lawatan diteruskan ke beberapa lokasi dalam daerah Bera yang fokus kepada Jalan Persekutuan FT10 yang menjadi laluan utama oleh penduduk daerah Bera untuk ke Temerloh yang terjejas akibat banjir yang telah melanda negara pada tahun ini.

Antara lokasi yang terlibat adalah di Kampung Durian Tawar dan Taman Awam Bera. Beberapa perbincangan dilakukan dalam mencari kaedah penyelesaian terbaik dan hala tuju tindakan yang perlu diambil telah diputuskan semasa lawatan tersebut.

Penerangan telah diberikan oleh YBrs. Ir. Haji Mohd Faizarudin Bin Haji Mohd Noor Jurutera Daerah JKR Bera.