Date: Rabu, Disember 13, 2023

11 Disember 2023 - Cawangan Perancangan Aset Bersepadu (CPAB) telah menerima kunjungan delegasi Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) yang diketuai oleh Ketua Bahagian Teknikal dan Rekabentuk, En. Mohd Fauzi bin Omar. Pihak CPAB yang diketuai oleh Jurutera Awam Penguasa Kanan Unit BIM, Ir. Ahmad Ridzuan bin Abu Bakar mewakili Pengarah Kanan CPAB berbesar hati menerima kunjungan ini dan meluangkan masa untuk berkongsi pengetahuan dan pengalaman dalam pelaksanaan BIM di JKR.

Lawatan delegasi yang dihadiri seramai 12 orang pegawai ini merupakan salah satu inisiatif PAAB untuk mendapatkan maklumat lanjut berkenaan pelaksanaan BIM di JKR dalam usaha mentransformasikan proses kerja pembangunan infrastruktur aset air dibawah PAAB mengunakan BIM.

Program selama 3 jam ini dimulakan dengan brif mengenai hasrat dan pengenalan agensi daripada ketua delegasi PAAB.  Taklimat diteruskan dengan pembentangan oleh Ir. Ts. Mohd Faiz bin Shapiai, Pakar Rujuk Jabatan (SME BIM) meliputi pengenalan, proses pembangunan, cabaran, isu, impak semasa dan selepas pelaksanaan BIM serta taklimat keperluan kontrak.

Sesi ini berjaya membuahkan hasil positif dimana pelbagai persoalan daripada pihak PAAB dapat dibincangkan dengan lebih lanjut dan mencapai objektif program ini. Sebagai tanda penghargaan dan kerjasama, program diteruskan dengan sesi penyerahan dan pertukaran cenderahati oleh kedua-dua pihak serta sesi bergambar.

Diharapkan pendedahan dan perkongsian ilmu ini dapat memberi manfaat kepada pihak PAAB dalam usaha menyokong inisiatif pendigitalan pengurusan projek dan fasiliti di Malaysia seterusnya, mewujudkan kerjasama strategik kedua pihak dalam aspek perkongsian ilmu adaptasi teknologi pembinaan terkini.

aset

aset