Date: Isnin, Ogos 15, 2022

11 Ogos 2022 - Unit BIM, Bahagian Pengurusan Projek Kompleks (BPPK), Cawangan Perancangan Aset Bersepadu telah menerima kunjungan delegasi Jabatan Pengurusan Fasiliti, Kesihatan dan Keselamatan UNITEN yang diketuai oleh Pengarah Jabatan iaitu Prof. Madya Ts. Gs. Dr. Sivadass Thiruchelvam. Pihak JKR amat berbesar hati menerima kunjungan ini dan meluangkan masa untuk berkongsi pengalaman dalam pelaksanaan BIM di JKR.

Lawatan delegasi yang dihadiri seramai 4 orang pegawai ini merupakan salah satu inisiatif UNITEN dalam usaha mentransformasikan penggunaan BIM dalam pengurusan aset dan fasiliti kampus akademik.

Program ini dimulakan dengan ucapan pembukaan daripada Ir. Mukhzani bin Abd Latif (menjalankan tugas Pengarah BPPK) dan diikuti oleh taklimat ringkas daripada pihak UNITEN. Seterusnya, sesi perkongsian ilmu dan pengalaman pelaksanaan BIM di JKR diteruskan oleh Ir. Ts. Mohd Faiz bin Shapiai dan diikuti dengan demo perisian Autodesk Revit oleh Ruzaireen binti Kamaruzaman (Arkitek), Noor Asyikin binti Sepiai (Struktur), Muhammad Nazmi bin Mat Na’ain (Mekanikal), dan juga Nur Atira binti Amran (Elektrik). Sebelum mengakhiri program, pihak UNITEN telah mengadakan lawatan ke Studio Latihan BIM bagi melihat fasiliti sedia ada khususnya keperluan ICT dalam pelaksanaan BIM.

Diharapkan pendedahan dan perkongsian ilmu ini dapat memberi manfaat kepada para pegawai UNITEN dalam usaha menyokong inisiatif pendigitalan pengurusan aset dan fasiliti.