Date: Rabu, Ogos 21, 2019

Lawatan kerja oleh YB. Tuan Hj Mohd. Anuar bin Mohd. Tahir, Timbalan Menteri Kerja Raya Malaysia ke Cawangan Kejuruteraan Geoteknik (CKG), IP JKR Malaysia di Tingkat 26, Menara PJD, Jalan Tun Razak telah disempurnakan pada 19 Ogos 2019 (Isnin) jam 2.30 petang.

Ketibaan YB. Timbalan Menteri Kerja Raya Malaysia telah disambut di lobi Menara PJD oleh YBrs. Ir. Abdul Hadi bin Abdul Aziz, Pengarah CKG bersama Ketua-Ketua Bahagian CKG. YB. Timbalan Menteri Kerja Raya telah diiringi ke Tingkat 26 dan menandatangani Buku Pelawat dan seterusnya ke Bilik Seminar CKG bagi sesi taklimat.

Sesi taklimat telah disampaikan oleh Ir. Razali bin Che Embi, JAPK BPKS yang menerangkan liputan sejarah geoteknik di JKR, tugas dan peranan setiap Bahagian di CKG dalam melaksanakan projek-projek pembangunan yang telah dirancang. Ia juga meliputi tugas-tugas forensik dan menganggotai Jawatankuasa Khas Siasatan yang diwakili oleh CKG diperingkat nasional.

Beberapa peralatan bagi ujian tanah telah dipamerkan bagi memberikan penerangan yang lebih mendalam mengenai tujuan penyiasatan tanah dijalankan.

YB. Timbalan Menteri juga berkesempatan untuk mengadakan lawatan ke Pejabat setiap Bahagian yang berada di CKG iaitu di Tingkat 26 dan 23A serta beramah mesra dengan pegawai dan kakitangan CKG.

Lawatan ini berakhir dengan jamuan ringan di Bilik Mesyuarat Utama, Tingkat 26 dan YB. Timbalan Menteri telah berangkat pulang dari Menara PJD pada jam 4.30 petang.