Date: Selasa, Ogos 1, 2023

Satu sesi libat urus di antara Jabatan Kerja Raya Malaysia dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) telah diadakan pada 31 Julai 2023 bagi membincangkan isu-isu utama dalam pelaksanaan Environmental Impact Assessment (EIA) bagi projek JKR serta hubungan kerjasama di antara JAS dan JKR Malaysia. Sesi libat urus ini telah diterajui oleh Pengarah Cawangan Alam Sekitar & Kecekapan Tenaga (CASKT), Ar. Idr. Rinna Siow serta dihadiri oleh wakil dari CASKT, Cawangan Kejuruteraan Infrastruktur Pengangkutan (CKIP), JKR Perak serta Jabatan Perhutanan Negeri Kedah.

Sesi libat urus ini telah di pengerusikan oleh Puan Rohimah Binti Ayub, Pengarah Bahagian Penilaian, JAS dan turut dihadiri oleh pegawai kanan dari Ibu Pejabat JAS. Beberapa isu utama berkenaan pelaksanaan EIA bagi projek JKR, cadangan penambahbaikan serta halatuju telah dibincangkan dan dipersetujui oleh kedua-dua pihak. Selain itu, pihak JAS dan JKR juga telah bersetuju agar sesi libat urus sebegini perlu di adakan dua kali setahun. CASKT akan menyusuli sesi libat urus ini dengan mengadakan sesi perbincangan teknikal bersama pegawai di Bahagian Penilaian, JAS bagi projek-projek yang mempunyai isu dalam pelaksanaan EIA.

Adalah diharapkan sesi libat urus ini dapat dijadikan satu platform yang efektif dalam mengoptimumkan penyampaian projek serta memperkasakan pelaksanaan EIA. Ini adalah selaras aspirasi Kerajaan bagi projek-projek RMK12 yang mengakui pemuliharaan ekosistem semulajadi adalah strategi utama untuk melonjakkan kemampanan dengan memastikan habitat dan ekosistem semula jadi dapat dilindungi.