Date: Isnin, Mei 7, 2018

Majlis Amanat YBhg. Tan Sri Dr. Ali Hamsa, Ketua Setiausaha Negara (KSN) bersama Warga Kementerian Kerja Raya telah berlangsung pada 7 Mei 2018 (Isnin) bertempat di Dewan Tan Sri Mahfoz Khalid. Majlis bermula sekitar jam 9.00 pagi turut dihadiri oleh YBhg. Dato’ Sri Zohari Bin Haji Akob, Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya (KSU), YBhg. Dato’ Ir. Dr. Roslan bin Md Taha, Ketua Pengarah Kerja Raya (KPKR), YBhg. Datuk Ir. Hj. Ismail Bin Md. Salleh, Ketua Pengarah Lembaga Lebuhraya Malaysia (KP LLM), dan YBhg. Dato' Ir. Ahmad 'Asri Bin Abdul Hamid, Ketua Eksekutif CIDB Malaysia (CEO CIDB).

Turut menghadiri majlis adalah Pegawai – pegawai Kanan serta kakitangan Warga Kementerian dan Agensi-Agensi di bawahnya.

Majlis dimulakan dengan ucapan aluan yang disampaikan oleh YBhg. Dato’ Sri KSU dan acara kemuncak adalah amanat yang disampaikan oleh YBhg. Tan Sri KSN.

Dalam ucapan aluan yang disampaikan oleh YBhg. Dato’ Sri KSU, beliau mengucapkan tahniah kepada YBhg. Tan Sri KSN kerana telah dilantik sebagai anggota Jawatankuasa Pakar Pentadbiran Awam, Pertubuhan Bangsa Bersatu (UN-CEPA) bagi penggal 2018-2021 di samping Presiden Pertubuhan Komanwel bagi Pentadbiran Awam dan Pengurusan (CAPAM) bagi sesi 2016 – 2018. Pelantikan ini menjadikan YBhg. Tan Sri sebagai individu pertama sepanjang sejarah penubuhan pertubuhan itu sejak 1994 yang menduduki kerusi presiden untuk dua penggal berturut-turut.

Seterusnya, YBhg. Dato’ Sri KSU menerangkan kejayaan – kejayaan yang telah dicapai oleh kementerian termasuk mencapai sasaran Petunjuk Prestasi Utama (KPI) KKR sepanjang tiga (3) tahun berturut – turut.

Di akhir ucapan amanat, YBhg. Tan Sri KSN menyatakan untuk menjadikan Malaysia berada 20 negara teratas di dunia, beliau mengajak semua bersama - sama bertanggungjawab membina Malaysia yang makmur.

Majlis diteruskan dengan sesi soal jawab bersama warga kerja raya dan bersurai pada jam 11.30 tengahari.