Date: Khamis, Disember 23, 2021

Majlis Apresiasi Program Cawangan Dasar Dan Pengurusan Korporat (CDPK) telah diadakan pada 21 Disember 2021. Majlis ini bertujuan untuk meraikan para pemenang bagi dua (2) program yang diadakan oleh CDPK iaitu Pertandingan Deklamasi Sajak Kemerdekaan JKR Sempena Dekad Bahasa Kebangsaan Sektor Awam dan Anugerah Pengurusan Pejabat (Bahagian) Terbaik CDPK.

 

Sebagai sebuah jabatan teknikal sektor awam, JKR menyedari kepentingan peranan Bahasa Kebangsaan sebagai alat komunikasi utama dalam pentadbiran dan pengurusan organisasi di samping turut sama berusaha memberi makna dan nilai tinggi terhadap budaya berbahasa kebangsaan dalam kehidupan seharian. Justeru itu, penganjuran Pertandingan Deklamasi Sajak Kemerdekaan JKR Sempena Dekad Bahasa Kebangsaan Sektor Awam telah diadakan dari 2 hingga 15 Ogos 2021 secara maya dengan kerjasama Dewan Bahasa Dan Pustaka.

 

Para pemenang telah menerima sijil penghargaan dan wang tunai sumbangan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Senarai pemenang Pertandingan Deklamasi Sajak Kemerdekaan JKR Sempena Dekad Bahasa Kebangsaan Sektor Awam adalah seperti berikut:

 

Tempat Pertama: Puan Magdelene Anak Japet dari Cawangan Perancangan Aset Bersepadu

 

Tempat Kedua: Encik Suhairi Bin Mohamad dari JKR Terengganu

 

Tempat Ketiga: Encik Muhammad Faiz bin Rusli dari Cawangan Arkitek

 

Saguhati:

Puan Suhana Binti Md Nazri dari Cawangan Kerja Bangunan Am 1

Encik Zuki Bin Mat Salleh, dari Cawangan Dasar dan Pengurusan Korporat

Ir Jayanthi Chinapan, dari JKR Negeri Johor

 

Selain itu, majlis turut diraikan dengan penyampaian Anugerah Pengurusan Pejabat (Bahagian) Terbaik peringkat CDPK yang telah diadakan pada 1 hingga 30 November 2021. Anugerah Pengurusan Pejabat (Bahagian) Terbaik ini diwujudkan berasaskan kepada pematuhan Bahagian-Bahagian terhadap Panduan Pentadbiran Dan Pengurusan Kerajaan, mencari amalan terbaik yang boleh dikongsikan dan dibudayakan, memberi motivasi dan galakan kerjasama antara rakan sekerja untuk memperolehi pengiktirafan; dan mewujudkan warga CDPK yang berdisiplin dan berdaya saing.

 

Anugerah ini turut memberi tumpuan kepada penilaian ke atas keadaan persekitaran dan suasana dalam dan luar pejabat, program-program bagi meningkatkan kesepakatan dan semangat berpasukan, budaya kualiti dalam menjalankan kerja di tempat kerja dan kemudahan dan panduan untuk pelanggan yang masing-masing menyumbang kepada 25 markah bagi setiap satu kriteria penilaian.

 

Bahagian Pengurusan dan  Perubahan Prestasi (BPPP) telah dinobatkan sebagai pemenang pertama Anugerah Pengurusan Pejabat (Bahagian) Terbaik, diikuti dengan Bahagian Pengurusan Kualiti (BPK) dan bagi tempat ketiga dimenangi oleh Bahagian Pengurusan Sumber Manusia (BPSM).

 

Tahniah dan Syabas diucapkan kepada para pemenang.

Barisan Pemenang Pertandingan Deklamasi Sajak Kemerdekaan JKR Sempena Dekad Bahasa Kebangsaan Sektor Awam 2021

Barisan pemenang Anugerah Pengurusan Pejabat (Bahagian) Terbaik