Pada 11 November 2024, Cawangan Dasar dan Pengurusan Korporat (CDPK) telah menganjurkan majlis bagi meraikan pegawai-pegawai JKR yang berjaya memperoleh kelayakan profesional bertauliah dalam pelbagai disiplin. Majlis tersebut diadakan di Aras Plaza, Menara Kerja Raya dan telah disempurnakan oleh Yang Berbahagia Datuk Wira Ketua Pengarah Kerja Raya, Ir. Roslan bin Ismail.
Hadir sama adalah Timbalan Ketua Pengarah Kerja Raya (Sektor Bangunan), YBhg. Dato’ Ibrahim bin Esa; Pengarah-pengarah Kanan, Pengarah CDPK, wakil-wakil Urusetia Displin dan Ketua-ketua Bahagian di CDPK.
Majlis yang julung kali diadakan ini merupakan satu penghargaan daripada pihak pengurusan jabatan kepada pegawai-pegawai JKR yang telah berjaya memperolehi kelayakan profesional bertauliah yang diiktiraf, termasuk Lembaga Jurutera Malaysia (BEM), Lembaga Arkitek Malaysia (LAM) dan Lembaga Juruukur Malaysia.
Dalam ucapan beliau, YBhg. Datuk Wira Ketua Pengarah Kerja Raya menghargai komitmen dan dedikasi yang diberikan oleh para pegawai yang terlibat. Beliau menyatakan bahawa pencapaian ini seharusnya akan menjadi pendorong untuk terus berusaha, berinovasi dalam tugas seharian serta menjadi contoh buat pegawai lain yang masih belum memilikinya. Pencapaian ini memberi manfaat bukan sahaja kepada individu, malah menyumbang kepada kejayaan organisasi secara keseluruhan.
Di penghujung majlis, YBhg. Datuk Wira telah berbesar hati untuk menyampaikan sijil penghargaan kepada semua pegawai-pegawai yang terlibat.
#IamJKR #KitaJKR #JKRsynergy
#JasaKepadaRakyat
- 1641 bacaan