Date: Rabu, Februari 28, 2024

Pada 16 Februari 2024 telah diadakan Majlis menandatangani Kerangka Pensijilan 2024 bertempat di Bilik Mesyuarat Perdana, Pusat Kecemerlangan Teknologi dan Kejuruteraan JKR (CREaTE). Dokumen tersebut telah ditandatangani oleh Jawatankuasa Melulus Kerangka Pensijilan yang terdiri daripada Pengerusi Jawatankuasa Melulus Kerangka Pensijilan, Pengarah Kanan CREaTE YBrs. Ir. Mohd. Shahrom bin Ahmad Saman dan Ahli Jawatankuasa yang terdiri daripada Pengarah Bahagian Kompetensi Pensijilan dan Akreditasi Kejuruteraan (BKPAK) CREaTE, YBrs. Sr Awatif binti Abdul Ghaffar dan Pengarah Bahagian Inovasi Penyelidikan dan Pembangunan Kejuruteraan (BIPPK) CREaTE, YBrs. Ir. Dr.  Sherliza binti Zaini Sooria.   

Melalui Mesyuarat Pengurusan Tertinggi JKR (MPT) pada 24 Disember 2021, Ahli Mesyuarat telah mencadangkan kepada CREaTE agar Program Pensijilan Kompetensi Teknikal JKR Malaysia diasingkan antara Kumpulan Pelaksana dengan Kumpulan Pengurusan dan Profesional. Tujuannya adalah bagi membolehkan calon daripada Kumpulan Pelaksana dapat memohon kompetensi teknikal sehingga Tahap 4, memandangkan Program Pensijilan Kompetensi Teknikal JKR Malaysia sebelum ini mengehadkan calon Kumpulan Pelaksana hanya boleh memohon sehingga Tahap 2 sahaja, sedangkan Kumpulan Pengurusan dan Profesional boleh memohon untuk Tahap 3 dan Tahap 4.

Kerangka Program Pensijilan Kompetensi Teknikal JKR Malaysia bagi Kumpulan Pelaksana dan Kumpulan Pengurusan dan Profesional ini telah menggariskan Tadbir Urus Pensijilan, Syarat Asas Kelayakan Pensijilan, Kaedah Pelaksanaan Pensijilan dan  Senarai Kursus Wajib Pensijilan.

Kerangka Pensijilan ini telah dibangunkan oleh Jawatankuasa Teknikal yang terdiri daripada wakil Disiplin Awam, Mekanikal, Elektrik, Arkitek, Ukur Bahan dan Pelbagai serta Pemilik Kompetensi/Ketua Kompetensi Teknikal di peringkat jabatan yang berpengalaman luas dalam bidang pengkhususan masing-masing melalui Bengkel Penyediaan Kerangka Pensijilan Kompetensi Teknikal JKR Malaysia (Kumpulan Pelaksana) pada 23-24 Mei 2023 dan Bengkel Pemurnian Kerangka Pensijilan Kompetensi Teknikal JKR Malaysia (Kumpulan Pelaksana dan Kumpulan Pengurusan dan Profesional) pada 26-27 September 2023 di Dewan Besar CREaTE.

Draf Akhir Kerangka Pensijilan 2024 telah dibentangkan dan diperakukan oleh Jawatankuasa Melulus Kerangka Pensijilan pada 24 Januari 2024. Kerangka Pensijilan ini kemudiannya telah diangkat dan dibentangkan dalam MPT pada 5 Feb 2024 dan telah mendapatkan kelulusan MPT agar Kerangka Pensijilan 2024 ini boleh digunakan untuk Program Pensijilan Kompetensi Teknikal JKR Malaysia tahun 2024 dan tahun berikutnya.

Program Pensijilan Kompetensi Teknikal JKR Malaysia 2024 yang dijangka akan diiklankan untuk menerima permohonan calon dari seluruh warga JKR pada 4 Mac 2024 akan menawarkan 68 kompetensi teknikal untuk Kumpulan Pelaksana dan 77 kompetensi teknikal untuk kumpulan Pengurusan dan Profesional.