Date: Rabu, Oktober 2, 2019

Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Kerajaan Malaysia yang diwakili oleh Cawangan Jalan, Jabatan Kerja Raya (JKR) dan British Standards Institution, diwakili oleh BSI Services Malaysia Sdn. Bhd. (BSI) telah dimeterai pada hari Isnin, 30 September 2019 bertempat di Ruang Legar Aras 2, Menara Kerja Raya, Ibu Pejabat JKR Malaysia. Memorandum Persefahaman ini telah ditandatangani oleh Ketua Pengarah Kerja Raya, YBhg. Dato' Ir. Dr. Meor Abdul Aziz bin Osman dan Pengarah Urusan BSI Services Malaysia Sdn. Bhd., En. Poon Cheong Yuen. Pengarah Kanan Cawangan Jalan JKR, Datuk Ir. Ruslan bin Abdul Aziz serta Pengurus Bisnes BSI, En. Tony Wu merupakan saksi bagi pihak JKR dan BSI masing-masing.

Melalui jalinan kerjasama ini, JKR khususnya Cawangan Jalan diharap berupaya membangunkan dokumen Building Information Modelling (BIM) bagi projek infrastruktur yang berlandaskan piawaian antarabangsa. Inisiatif ini akan memberikan impak positif kepada jabatan bagi memacu pelaksanaan BIM terutamanya dalam industri pembinaan infrasruktur negara. Penglibatan pegawai JKR secara langsung dalam kerjasama ini juga akan memberikan pendedahan dan pengetahuan yang lebih mendalam berkaitan BIM.

Majlis diakhiri dengan YBhg. Dato' Ir. Dr. Meor Abdul Aziz bin Osman dan En. Poon Cheong Yuen berjabat tangan sebagai tanda simbolik pemeteraian Memorandum Persefahaman antara Jabatan Kerja Raya (JKR) dan BSI Services Malaysia Sdn. Bhd (BSI). Terima kasih diucapkan kepada semua yang terlibat.