Date: Rabu, Ogos 16, 2023

Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman antara Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia dengan Universiti Malaya (UM) telah diadakan pada 15 Ogos 2023 di Universiti Malaya. Memorandum yang telah dirangka bersama oleh Cawangan Kejuruteraan Awam dan Struktur (CKAS), JKR dan Fakulti Kejuruteraan, UM ini telah dimeterai oleh YBhg. Datuk Ir. Ahmad Redza bin Ghulam Rasool, Ketua Pengarah Kerja Raya Malaysia mewakili Kerajaan Malaysia dan YBhg. Profesor Dato’ Ir. Dr. Mohd Hamdi bin Abd Shukor, Naib Canselor Universiti Malaya mewakili Universiti Malaya.

Sesi tandatangan ini turut disaksikan oleh Pengarah Kanan, CKAS, Ir. Noreha binti Nordin mewakili JKR Malaysia dan Dekan Fakulti Kejuruteraan, UM, Prof. Ir. Dr. Kaharudin bin Dimyati mewakili UM. Majlis ini turut dihadiri seramai lebih kurang 40 orang pegawai kanan dari JKR dan UM.

Kerjasama ini memfokuskan kepada tiga perkara utama yang berkaitan dengan bidang struktur bangunan iaitu reka bentuk komponen dan sambungan struktur, rehabilitasi dan konservasi struktur dan Building Information Modelling bertujuan untuk memperluas dan memperkembangkan kebolehgunaan pengetahuan dalam bidang kejuruteraan ke arah pembangunan negara berteknologi tinggi.