Date: Jumaat, Februari 16, 2024
Majlis Menandatangani Nota Kerjasama
di antara
Pusat Kecemerlangan Kejuruteraan dan Teknologi (CREaTE)
Jabatan Kerja Raya Malaysia
dan
Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC), Melaka
 

7 Februari 2024 – Bertempat di Galeri CREaTE, telah berlangsung Majlis Menandatangani Nota Kerjasama Pembangunan Latihan Dan Bimbingan Khidmat Teknikal Bidang Teknologi Automotif di antara CREaTE dan Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC), Melaka. Sesi pertukaran dokumen ini telah disempurnakan oleh YBrs. Ir. Mohd Shahrom bin Ahmad Saman, Pengarah Kanan CREaTE dan YBrs. Dr. Norhuda Binti Salim, Pengarah Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC), Melaka yang mewakili organisasi masing-masing. Majlis ini juga dihadiri oleh delegasi ADTEC yang terdiri daripada Timbalan Pengarah (Latihan) ADTEC, Timbalan Pengarah (Operasi) ADTEC, Ketua Jabatan Mekanikal & Pembuatan ADTEC dan Ketua Bahagian Teknologi Automotif ADTEC.

Sesi tandatangan Nota Kerjasama oleh YBrs. Ir. Mohd Shahrom bin Ahmad Saman, Pengarah CREaTE dan YBrs. Dr. Norhuda Binti Salim, Pengarah ADTEC Melaka

Program yang diuruskan oleh Bahagian Kompetensi, Pensijilan dan Akreditasi Kejuruteraan, CREaTE ini merupakan kerjasama Pembangunan Latihan Dan Bimbingan Khidmat Teknikal dalam Bidang Teknologi Automotif bagi memenuhi keperluan organisasi dalam perkara berikut:

(a)        perkongsian khidmat nasihat teknikal, kepakaran dan teknologi terkini antara organisasi melalui seminar, sesi perkongsian ilmu dan/atau latihan, promosi, lawatan industri, kurikulum serta lain-lain aktiviti yang dipersetujui secara bersama.
(b)        penganjuran seminar, sesi perkongsian ilmu dan/atau latihan oleh organisasi bagi tujuan penyebaran maklumat kepada orang ramai.
(c)        perkara-perkara lain yang berkaitan kerjasama dalam niat dan objektif Nota Kerjasama ini yang akan ditentukan oleh Jawatankuasa Pengurusan Bersama dari semasa ke semasa.
 

CREaTE sentiasa komited dalam usaha untuk meningkatkan kompetensi pegawainya supaya perkhidmatan yang optimum dapat disampaikan. Semoga kerjasama yang dimenterai ini dapat merealisasikan salah satu misi utama CREaTE iaitu membangunkan modal insan yang kompeten, kreatif dan inovatif dalam bidang kejuruteraan dan teknologi.