Date: Khamis, Januari 9, 2020

Pada 6 Januari 2020 (Isnin) telah berlangsungnya Majlis Penyerahan Surat Setuju Terima (SST), sesi menandatangani dokumen kontrak, penyerahan surat pelantikan pegawai penguasa (S.O) dan penyerahan lukisan pembinaan bagi Projek Membina Bangunan Tambahan Jabatan Kimia, Cawangan Johor dan Projek Menaiktaraf Pusat Latihan Kemas (PLK) Kepala Batas, Pulau Pinang. Majlis penyerahan SST tersebut telah diadakan di Bilik Bixa, Tingkat 18, Menara PJD.

Majlis telah disempurnakan oleh YBrs. Ar. Zairul Azidin bin Badri, Timbalan Ketua Pengarah Kerja Raya (Sektor Bangunan). Turut hadir ke majlis ini adalah YBrs. Pn. Samini binti Hj. Omar, Pengarah Cawangan Kerja Bangunan Am 2, YBrs. Pn. Rusnah binti Rohani, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi), Jabatan Kimia Malaysia, YBrs Tuan Abdul Kahar bin Abdullah, Timbalan Ketua Pengarah, Pengurusan dan Pembangunan, Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) selaku pihak pelanggan projek, YBrs Ir. Mohd Said bin Sidik, Pengarah JKR Johor dan YBrs. Ir. Shahfizan bin Md Nor, Jurutera Daerah Seberang Perai Utara, JKR Pulau Pinang selaku Pegawai Penguasa.

PROJEK MEMBINA BANGUNAN TAMBAHAN JABATAN KIMIA, CAWANGAN JOHOR

Projek ini melibatkan pembinaan bangunan dua tingkat yang menempatkan ruangan pejabat, makmal alam sekitar dan makmal makanan serta kerja-kerja luaran termasuk compact sub station & On-Site Detention (OSD).

Kaedah perlaksanaan projek ini adalah secara Konvensional Dalaman dengan kerjasama di antara  HOPT iaitu Bahagian Pengurusan Projek 2, Cawangan Kerja Bangunan Am 2 (CKBA 2) dan semua Pasukan HODT. Manakala Pengarah JKR Johor dilantik sebagai Pegawai Penguasa (S.O) bagi projek ini.

Tahniah diucapkan kepada Penender yang berjaya untuk melaksanakan projek ini iaitu Syarikat Himpun Daya Sdn. Bhd. Tempoh pelaksanaan projek adalah selama 130 minggu bermula dari Tarikh Milik Tapak pada 16 Januari 2020 sehingga 13 Julai 2022.

PROJEK MENAIKTARAF PUSAT LATIHAN KEMAS (PLK) KEPALA BATAS, PULAU PINANG

Projek ini melibatkan pembinaan semula bangunan tiga tingkat meliputi blok akademik & pentadbiran, taska dan pusat sumber serta kerja-kerja luaran termasuk menaiktaraf laluan utama dan kerja-kerja berkaitan.

Kaedah perlaksanaan projek ini adalah secara Konvensional Dalaman dengan kerjasama di antara HOPT iaitu Bahagian Pengurusan Projek 5, Cawangan Kerja Bangunan Am 2 (CKBA 2) dan semua Pasukan HODT. Manakala Jurutera Daerah Seberang Perai Utara, JKR Pulau Pinang dilantik sebagai Pegawai Penguasa (S.O) bagi projek ini.

Tahniah diucapkan kepada Penender yang berjaya untuk melaksanakan projek ini iaitu Syarikat Ikhtisas Mulia Sdn. Bhd. Tempoh pelaksanaan projek adalah selama 78 minggu bermula dari Tarikh Milik Tapak pada 28 Januari 2020 sehingga 27 Julai 2021.

Justeru itu, JKR selaku agensi pelaksana perlu memikul amanah rakyat untuk memastikan serta memenuhi aspirasi kerajaan agar projek ini dapat disiapkan dengan sempurna, berkualiti, dengan kos dan tempoh masa sepertimana yang telah ditetapkan dalam kontrak.