Date: Khamis, Ogos 13, 2020

Pada 12 Ogos 2020 (Rabu) telah berlangsungnya Majlis Menandatangani Surat Setuju Terima (SST), dokumen kontrak dan penyerahan surat pelantikan Pegawai Penguasa (S.O) bagi Projek Pembinaan Penstoran Punca Radioaktif Terkedap Terpakai (DSRS) Di Agensi Nuklear Malaysia, Bangi, Selangor. Majlis Menandatangani SST tersebut telah diadakan di Bilik Mesyuarat Zamrud, Tingkat 15, Menara PJD.

Majlis (2 dalam 1) ini telah disempurnakan oleh YBrs. Pn. Samini binti Hj. Omar, Pengarah JKR Cawangan Kerja Bangunan Am 2. Turut hadir ke majlis ini adalah YBrs. Pn. Rohyiza binti Baan, mewakili Pengarah Agensi Nuklear Malaysia selaku pihak pelanggan projek dan Pn. Ratnawati Devi binti Jeffri, wakil Jurutera Daerah Kuala Terengganu selaku Pegawai Penguasa Projek.

Skop utama projek ini ialah pembinaan sebuah stor yang berukuran 11m x 8m yang akan menempatkan Punca Radioaktif Terkedap Terpakai (DSRS) dan sebuah bilik suis. Kaedah perlaksanaan projek ini adalah secara Konvensional Dalaman dengan kerjasama di antara  HOPT iaitu Bahagian Pengurusan Projek 2, JKR Cawangan Kerja Bangunan Am 2 (JKR CKBA 2) dan semua Pasukan HODT.

Tahniah diucapkan kepada Kontraktor yang berjaya untuk melaksanakan projek ini iaitu Parallel Trading. Tempoh pelaksanaan projek adalah selama 50 minggu bermula dari Tarikh Milik Tapak pada 26 Ogos 2020 dan tarikh jangka siap adalah pada 10 Ogos 2021. Di dalam majlis ini juga pihak kontraktor telah menandatangani Akujanji Kontraktor yang menyatakan kontraktor akan melaksanakan amanah projek yang diberikan dengan tekun dan teratur serta akan menyiapkan projek ini dengan kualiti yang menepati spesifikasi, masa dan kos yang ditetapkan.

Justeru itu, JKR selaku agensi pelaksana perlu memikul amanah rakyat untuk memastikan serta memenuhi aspirasi kerajaan agar projek ini dapat disiapkan dengan sempurna, berkualiti, dengan kos dan tempoh masa sepertimana yang telah ditetapkan dalam kontrak.