Date: Khamis, March 31, 2016
SALAM PERPISAHAN DATO' Sr ABDULL MANAF BIN HJ HASHIM, TIMBALAN KETUA PENGARAH KERJA RAYA (SEKTOR PAKAR)
 
Dengan penuh takzim, Warga JKR mengucapkan Salam Perpisahan kepada YBhg Dato di atas persaraan wajib bermula 05 Mac 2016. Kami berharap YBhg Dato akan terus berbahagia di alam persaraan dengan masa yang lebih dapat diberikan kepada keluarga, saudara mara dan sahabat taulan yang tidak dapat diberikan semasa perkhidmatan dengan JKR/Kerajaan kerana kepentingan tanggungjawab. Kami di JKR sentiasa mendoakan yang terbaik buat YBhg Dato' dan keluarga. Semoga YBhg Dato sentiasa menganggap kami sebagai Keluarga Kedua dan akan sentiasa menjalinkan hubungan walaupun di alam persaraan.
 
Majlis Menghargai Jasa Bakti YBhg. Dato' Sr. Abdull Manaf b Hj Hashim, TKPKR (Sektor Pakar) telah diadakan pada 31 Mac 2016 (Khamis) jam 2.00 petang bertempat di Dewan Tan Sri Mahfoz Khalid, Kementerian Kerja Raya.
 
Majlis dihadiri oleh tetamu kehormat Menteri Kerja Raya, YB Dato' Sri Hj. Fadillah b Hj Yusof yang diiringi oleh YBhg. Dato' Sri Zohari b Hj Akob, Ketua Setiausaha,KKR dan juga Ketua Pengarah Kerja Raya, YBhg. Datuk Ir.Hj.Adanan b Mohamed Hussain.Turut hadir, Ybhg. Dato' Ir. Hj Ismail b Md. Salleh, Ketua Pengarah Lembaga Lebuhraya Malaysia, YBhg. Dato' Ir. Ahmad 'Asri b Abdul Hamid,Ketua Eksekutif, CIDB dan juga Pegawai Pengurusan Tertinggi Kementerian Kerja Raya dan JKR.
 
Majlis dimulakan dengan tayangan multimedia sejarah perkhidmatan YBhg. Dato' Manaf. Majlis diteruskan dengan ucapan YBhg. KPKR, penyampaian cenderahati dan ucapan oleh YBhg. Dato' Manaf.Majlis berakhir pada jam 4.30 petang. YBhg Dato turut menyumbangkan beberapa buah lagu di atas desakan para hadirin buat penambat ingatan dan mengubat rindu.
 
Seluruh warga JKR Malaysia merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan jutaan terima kasih kepada YBhg. Dato’ Sr. Haji Abdull Manaf di atas sumbangan dan komitmen besar beliau sepanjang mencurahkan bakti di JKR. Semoga Allah S.W.T akan melimpahkan rahmat dan peliharaan-Nya kepada beliau dan keluarga, dipanjangkan usia, diberikan kesihatan tubuh badan dan ditambahkan ilmu pengetahuan bagi manfaat agama, bangsa dan negara.