Date: Selasa, Jun 12, 2018

Majlis Menyantuni Ibu-ibu Tunggal dan Anak - anak Yatim warga kerja JKR Ibu Pejabat telah diadakan pada 8 Jun 2018 (Jumaat), jam 2.30 petang bertempat di Tingkat 2, Blok G, Menara Kerja Raya.

Majlis telah dihadiri oleh para penerima yang terdiri daripada warga kerja JKR dari Ibu Pejabat JKR, JKR Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, pegawai – pegawai Cawangan Dasar & Pengurusan Korporat (CDPK) serta ahli – ahli AKRAB. Acara penyampaian sumbangan telah disempurnakan oleh YBrs. Tn. Hj. Meor Mohamed Haris bin Meor Hussein, Pengarah CDPK dan diiringi oleh Pn. Samilah binti Mashuri selaku Pengerusi AKRAB JKR Malaysia.

Program ini dianjurkan rentetan daripada pelancaran Program Sayangi Taulan Santuni Ramadhan anjuran AKRAB JKR Malaysia yang telah dilancarkan pada minggu pertama bulan Ramadhan. Tujuan program ini diadakan adalah untuk mengumpul sumbangan kepada ibu tunggal dan anak yatim warga kerja JKR Ibu Pejabat, JKR Wilayah Persekutuan dan JKR Putrajaya sempena bulan Ramadhan dan menyambut syawal.

Semoga sumbangan ikhlas ini dapat membantu serba sedikit dalam melalui hari-hari akhir Bulan Ramadhan yang mulia ini.  AKRAB JKR Malaysia merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada semua warga kerja JKR di Ibu Pejabat yang telah menyambut baik program ini dan menghulurkan sumbangan bagi merealisasikan usaha murni ini. 

AKRAB JKR Malaysia mengucapkan Selamat Berpuasa dan Selamat Menyambut Hari Raya Aidilfitri yang bakal menjelang tiba tidak lama lagi.  Semoga Ramadhan Membawa Sinar dan Syawal Membawa Keceriaan kepada kita semua.