Date: Rabu, September 14, 2022

PULAU LANGKAWI, KEDAH – 12 SEPTEMBER 2022 (ISNIN) telah berlangsung majlis perasmian dan pecah tanah Projek Pembinaan Bangunan Tambahan Hospital Sultanah Maliha, Langkawi yang telah disempurnakan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia, Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah, Sultan Kedah Darul Aman dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia, Sultanah Maliha Binti Almarhum Tengku Ariff, Sultanah Kedah Darul Aman diiringi oleh YB Dato’ Sri Haji Fadillah bin Haji Yusof, Menteri Kanan Kerja Raya, YB Tuan Khairy bin Jamaluddin, Menteri Kesihatan Malaysia serta YAB Dato’ Seri Haji Muhammad Sanusi bin Md Nor, Menteri Besar Kedah.

Projek ini dilaksanakan untuk menaiktaraf perkhidmatan perubatan sedia ada di Hospital Sultanah Maliha bagi meningkatkan kemudahan serta memberi manfaat kepada penduduk di Pulau Langkawi khususnya dan Negeri Kedah amnya.

Projek yang dilaksanakan secara Reka dan Bina ini akan memuatkan sebanyak dua ratus dua puluh (220) katil pesakit, menjadikan kapasiti keseluruhan bilangan katil di Hospital Sultanah Maliha meningkat kepada tiga ratus tiga puluh (330) katil. Sekaligus menjadikan Hospital Sultanah Maliha bertaraf Hospital Pakar Major.

Kos kontrak semasa bagi projek ini adalah RM425 juta dengan tempoh pelaksanaan selama 182 minggu, meliputi skop seperti berikut:

  1. Kerja Bangunan (Blok Hospital baharu 220 katil) termasuk enam (6) buah dewan bedah yang lengkap;
  2. Kerja-kerja infrastruktur;
  3. Pembelian peralatan perubatan dan bukan perubatan;
  4. Pembelian Peralatan ICT;
  5. Pembinaan 40 unit Kuarters Kelas G untuk kakitangan hospital; dan
  6. Blok parkir bertingkat

 

Bangunan hospital sedia ada akan diintegrasikan dengan Bangunan tambahan hospital baharu untuk memberikan perkhidmatan yang lebih menyeluruh dan efektif. Kerja - kerja pembinaan telah bermula pada 20 Januari 2022 (Tarikh Milik Tapak) dan dijadualkan siap sepenuhnya pada 16 Julai 2025.

Projek ini juga akan menggunakan kaedah Sistem Binaan Berindustri (Industrialised Building System -IBS) dan menggabungkan Pemodelan Maklumat Bangunan (Building Information Modelling- BIM). Kaedah ini adalah bertepatan dengan usaha Kementerian untuk meningkatkan kualiti dan produktiviti pembinaan, menyeragamkan reka bentuk, mempercepatkan fasa pembinaan serta mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing.

Semoga dengan terbinanya Bangunan Tambahan Hospital Sultanah Maliha ini dapat mengurangkan beban penerimaan pesakit untuk pakar rujuk terutamanya di hospital-hospital berdekatan seperti Hospital Sultanah Bahiyah, Hospital Sultan Abdul Halim (Kedah) dan Hospital Tuanku Fauziah (Perlis).

Pelaksanaan projek ini adalah bukti komitmen kerajaan untuk meningkatkan mutu perkhidmatan kesihatan kepada penduduk di Pulau Langkawi dalam persekitaran yang lebih kondusif, moden dan selesa.

 

YBhg. Dato’ Ar. IDr. Azman Md. Hashim, Pengarah Cawangan Kerja Kesihatan sedang memberi taklimat penerangan rekabentuk cadangan pembinaan Bangunan Tambahan Hospital Sultanah Maliha, Langkawi kepada KDYMM Sultan Kedah Darul Aman dan KDYMM Sultanah Kedah.

 

Lawatan ke tapak Pameran oleh Tunku Mahkota bersama Menteri Besar Kedah, Menteri Kanan Kerja Raya & Menteri Kesihatan.