Date: Jumaat, November 11, 2022

Pada tarikh 9 November 2022, sebelum bermula Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu Pelan Strategik JKR 2021-2025 Bil 4/2022, Cawangan Dasar dan Pengurusan Korporat (CDPK) telah mengambil kesempatan mengadakan majlis pelancaran Buku Program Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia Sarawak (JAKM) Edisi ke-7: Pameran Inovasi Teknologi, Manual Pelan Bisnes Cawangan/Negeri/Wilayah Persekutuan/Pasukan Projek Khas dan KPI Pengarah Kanan/Pengarah Jabatan Kerja Raya Malaysia dan Buku Koleksi Ucapan, Kata Aluan dan Rencana Pelan Strategik 2021-2025 Ketua Pengarah Kerja Raya - Dato’ Seri Haji Mohamad Zulkefly bin Sulaiman. Majlis pelancaran ini telah dianjurkan oleh Bahagian Pengurusan Perubahan dan Prestasi (BPPP), CDPK yang diterajui oleh Ketua Bahagian, YBrs. Ir. Ts. Dr. Haji Zarabizan Bin Haji Zakaria.

Majlis yang diadakan bertempat di Ruang Legar Aras 2, Blok G, Menara Kerja Raya ini telah disempurnakan oleh YBhg. Dato' Seri Ir. Haji Mohamad Zulkefly bin Sulaiman, Ketua Pengarah Kerja Raya Malaysia. Majlis ini turut dihadiri oleh YBhg Dato' Ir. Ahmad Redza bin Ghulam Rasool​, Timbalan Ketua Pengarah (Sektor Infra), YBrs. Ir. Rahmat bin Hj. Abd. Rahman, Timbalan Ketua Pengarah (Sektor Bangunan), YBrs. Sr Amran Bin Hj. Mohd Majid, Timbalan Ketua Pengarah (Sektor Pakar), dan YBhg. Dato’ Ir. Haji Masri bin Baharuddin, Pengarah CDPK. Turut hadir bersama-sama adalah kesemua Peneraju Tema Strategik JKR.

Tiga (3) buah dokumen Strategik JKR yang dilancarkan adalah dokumen-dokumen yang telah dihasilkan oleh BPPP, CDPK. Dokumen yang pertama ialah buku Program Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia Sarawak (JAKM) Edisi ke-7: Pameran Inovasi Teknologi yang menghimpunkan rangkuman aktiviti Pameran Inovasi dan Teknologi JAKM Edisi ke-7 di Negeri Sarawak yang telah dilaksanakan pada 5-7 Ogos 2022 yang lalu. CDPK, JKR telah diberi kepercayaan oleh Kementerian Kerja Raya dalam mengelolakan Pameran Inovasi dan Teknologi ini bersama-sama dengan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB). Pameran ini telah berjaya menarik perhatian ribuan pengunjung daripada segenap lapisan masyarakat di Sarawak yang terdiri daripada penggiat industri pembinaan,penjawat awam dan swasta,pelajar dan orang awam.

Dokumen yang seterusnya ialah Manual Pengurusan Pelan Bisnes Cawangan/Negeri/Wilayah Persekutuan/Pasukan Projek Khas dan KPI Pengarah Kanan/Pengarah Jabatan Kerja Raya Malaysia di mana dokumen ini merupakan panduan yang memperincikan tatacara dan aliran kerja bagi memastikan penyelarasan, pemantauan, pengukuran dan pelaporan prestasi Pelan Bisnes Cawangan/Negeri/Wilayah Persekutuan/Pasukan Projek Khas adalah efektif dan bersistematik. Ianya juga membantu Jabatan dalam memperkasakan keseragaman tadbir urus organisasi dan seterusnya merealisasikan hala tuju strategik Jabatan yang telah ditetapkan.

Selanjutnya, dokumen yang ketiga yang dilancarkan adalah buku Koleksi Ucapan, Kata Aluan dan Rencana Pelan Strategik 2021-2025 Ketua Pengarah Kerja Raya, Dato’ Seri Ir. Haji Mohamad Zulkefly bin Sulaiman yang merupakan dokumen yang menghimpunkan koleksi ucapan dan kata aluan oleh YBhg. Dato’ Seri KPKR serta rencana mengenai majlis pelancaran dan penghargaan berkaitan Pelan Strategik JKR 2021-2025 dan lain-lain Pelan Jabatan berkaitan. Koleksi tersebut dihimpunkan dan diterbitkan bermula dari pelancaran Pelan Strategik JKR 2021-2025 pada 29 September 2020 sehingga kini.

Adalah diharapkan inisiatif penerbitan dokumen strategik JKR ini akan menjadi medium hebahan yang bermanfaat dan informatif kepada semua warga JKR, seterusnya menjadi pemangkin dan pencetus revolusi keyakinan terhadap JKR serta pencetus inspirasi warga JKR untuk terus komited mencapai Visi, Misi dan Objektif Jabatan. Semua warga JKR boleh mendapatkan salinan softcopy dokumen-dokumen berkenaan melalui laman J-PEDIA JKR.