Date: Jumaat, November 19, 2021

Pada tarikh 19 November 2021, sejurus selepas selesai Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu Pelan Strategik JKR 2021-2025 Bil 4/2021 dilaksanakan, Cawangan Dasar dan Pengurusan Korporat (CDPK) telah mengambil kesempatan mengadakan majlis ringkas bagi melancarkan Laporan Pencapaian Pelan Strategik JKR 2016-2020 dan Laporan Pelaksanaan Pelan Pengurusan Risiko Organisasi (ERM) 2016-2020 yang telah disempurnakan oleh YBhg. Datuk Ir. Haji Mohamad Zulkefly bin Sulaiman, Ketua Pengarah Kerja Raya (KPKR) Malaysia bertempat di Bilik Mesyuarat Berlian, Aras 2, Blok G Menara Kerja Raya, Kuala Lumpur. Majlis pelancaran ini telah dianjurkan oleh Bahagian Pengurusan Perubahan dan Prestasi (BPPP), CDPK yang diterajui oleh Ketua Bahagian, YBrs. Ir. Ts. Dr. Haji Zarabizan Bin Haji Zakaria selaku Ketua Sekretariat Pelan Strategik dan ERM Jabatan Kerja Raya Malaysia.

Sebagai simbolik pelancaran, majlis ini dirasmikan melalui sesi penyerahan Laporan Pencapaian Pelan Strategik JKR 2016-2020 dan Laporan Pelaksanaan Pelan Pengurusan Risiko Organisasi (ERM) 2016-2020 daripada YBhg. Datuk KPKR kepada ketua setiap sektor iaitu YBhg Dato' Ir. Haji Ahmad Redza bin Ghulam Rasool​ (Timbalan Ketua Pengarah Sektor Infra), YBhg Dato' Ir. Haji Habbali bin Ibrahim (Timbalan Ketua Pengarah Sektor Bangunan), YBrs Sr Amran Bin Hj. Mohd Majid ( yang menjalankan tugas Timbalan Ketua Pengarah Sektor Pakar) dan YBrs Ir. Haji Badioezaman bin Ab. Khalik (wakil Sektor Pengurusan) . Majlis ini juga turut disaksikan oleh Peneraju dan wakil-wakil dari setiap Pemilik Tema Strategik.

Objektif utama penghasilan Laporan Pencapaian Pelan Strategik JKR 2016-2020 dan Laporan Pelaksanaan Pelan Pengurusan Risiko Organisasi (ERM) 2016-2020 ini adalah bagi menjelaskan secara keseluruhannya, keberhasilan pelaksanaan Pelan Strategik Jabatan Kerja Raya dan Pelan ERM Jabatan bagi tempoh 5 tahun iaitu dari tahun 2016 sehingga tahun 2020 meliputi kesemua lima (5) Tema Strategik utama. Kecemerlangan pelaksanaan kedua-dua Pelan ini telah dapat direalisasikan hasil daripada kerjasama dan komitmen yang padu dari seluruh warga kerja Jabatan Kerja Raya.

Justeru itu, bersandarkan kepada kejayaan dan kecemerlangan Pelan Strategik JKR 2016 – 2020 dan Pelan ERM Jabatan 2016-2020, Jabatan Kerja Raya akan kekal terus memainkan peranan penting dalam pembentukan hala tuju dan keberhasilan pembangunan infrastruktur negara. Bagi meneruskan momentum kecemerlangan Pelan Strategik JKR 2016-2020 dan Pelan ERM Jabatan 2016-2020, segala kekurangan dan lesson learned perlu dijadikan iktibar dan rujukan serta dijadikan benchmark atau penanda aras dalam pelaksanaan Pelan Strategik JKR dan Pelan ERM Jabatan bagi tempoh lima (5) tahun berikutnya. Persekitaran yang semakin mencabar serta jangkaan pelanggan dan pihak berkepentingan yang kian dinamik memerlukan Jabatan Kerja Raya sentiasa bersedia melaksanakan transformasi dan manifestasi iltizam agar terus kekal relevan sejajar dengan Visi dan Misi Jabatan juga hala tuju negara.

Semoga pelancaran ini akan mencetuskan semangat kepada seluruh warga Jabatan Kerja Raya untuk terus komited dan konsisten dalam merealisasikan inisiatif-inisiatif untuk 5 tahun akan datang sebagaimana dinyatakan dalam Pelan Strategik JKR 2021-2025 dan Pelan Pengurusan Risiko Organisasi (ERM) 2021-2025. Sekaligus akan menyumbang kepada penyampaian perkhidmatan yang terbaik berteraskan kecemerlangan dan keberhasilan menyeluruh.