Date: Isnin, April 19, 2021

Cawangan Dasar dan Pengurusan Korporat (CDPK) telah mengadakan Majlis Pelancaran Pelan Bisnes dan Pelan Pengurusan Risiko Organisasi (ERM) CDPK Tahun 2021-2023 yang disempurnakan oleh YBhg. Dato’ Ir. Haji Masri bin Baharuddin, Pengarah CDPK pada 16 April 2021 bertempat di Blok G, Menara Kerja Raya, Kuala Lumpur.

Sebagai simbolik pelancaran, majlis juga disusuli dengan sesi penyerahan buku Pelan Bisnes dan Pelan ERM CDPK Tahun 2021-2023 oleh YBhg. Dato’ Pengarah CDPK kepada sebelas (11) bahagian di CDPK yang terdiri daripada:

  1. Bahagian Pengurusan Kualiti;
  2. Bahagian Pengurusan Sumber Manusia;
  3. Bahagian Pengurusan Perubahan dan Prestasi;
  4. Bahagian Komunikasi Korporat;
  5. Bahagian Teknologi Maklumat;
  6. Bahagian Integriti;
  7. Bahagian Pembangunan Skim Kejuruteraan;
  8. Bahagian Sekretariat;
  9. Bahagian Kewangan dan Akaun;
  10. Bahagian Penyelarasan dan Khidmat Sokongan; dan
  11. Pasukan Projek J10.

 

Majlis ini juga turut disaksikan oleh warga CDPK secara langsung menerusi Facebook Bahagian Pengurusan Perubahan dan Prestasi (BPPP). Majlis ini telah dianjurkan oleh BPPP, CDPK yang diterajui oleh Ketua Bahagian, YBrs. Ir. Ts. Dr. Haji Zarabizan Bin Haji Zakaria.

Menjadi tanggungjawab setiap Cawangan/Negeri termasuk CDPK untuk merealisasikan perancangan strategik JKR dengan memastikan Pelan Bisnes Cawangan yang dihasilkan seiring  dengan Pelan Strategik JKR 2021-2025 dan Pelan Bisnes Jabatan 2021-2025 serta berdasarkan fungsi setiap bahagian di cawangan ini. Justeru, penghasilan pelan tindakan dan pelan operasi yang mantap serta resilient, pelaksanaan yang teratur serta pemantauan yang holistik telah diterjemahkan dalam Pelan Bisnes CDPK Tahun 2021-2023 ini.

Seterusnya, bagi memastikan keberhasilan dan kemampanan Pelan Bisnes CDPK Tahun 2021-2023, Pelan ERM CDPK Tahun 2021-2023 juga telah dihasilkan untuk mengawal dan mengurus risiko-risiko yang boleh menjejaskan prestasi CDPK. Pelan ini merupakan living document yang perlu sentiasa dipantau dan dikemaskini secara konsisten dari semasa ke semasa bagi memastikan strategi dan tindakan rawatan yang dijalankan memberi impak yang positif terhadap pencapaian Pelan Bisnes CDPK.

Terdapat sebanyak seratus lima belas (115) pengukuran ditetapkan dalam Pelan Bisnes CDPK yang merangkumi skop dan fungsi daripada sebelas (11) bahagian di CDPK. Manakala bagi Pelan ERM CDPK, terdapat seratus dua puluh (120) insiden risiko yang didaftarkan, di mana terdapat tujuh belas (17) insiden risiko berkadar ekstrim, empat puluh lima (45) berkadar tinggi dan lain-lainnya berkadar sederhana dan rendah.

Semoga pelancaran ini akan mencetuskan momentum semangat kepada seluruh warga CDPK untuk terus komited dan konsisten dalam merealisasikan inisiatif-inisiatif yang digarap dalam Pelan Bisnes CDPK dan strategi-strategi rawatan diketengahkan dalam Pelan ERM CDPK sekaligus menyumbang kepada penyampaian perkhidmatan yang terbaik berteraskan kecemerlangan dan keberhasilan.