Date: Selasa, Februari 23, 2021

Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia telah mengadakan Majlis Pelancaran Pelan Bisnes Jabatan 2021 – 2025 yang disempurnakan oleh YBhg. Dato’ Ir. Haji Mohamad Zulkefly bin Sulaiman, Ketua Pengarah Kerja Raya pada 23 Februari 2021 bertempat di Blok G, Menara Kerja Raya, Kuala Lumpur.

Majlis yang diadakan mengikut SOP ini hanya dihadiri oleh 8 orang tetamu secara fizikal yang terdiri daripada YBhg. Dato’ Ir. Haji Ahmad Redza bin Ghulam Rasool, Timbalan Ketua Pengarah Kerja Raya (Sektor Infra), YBhg. Datuk Ir. Razdwan bin Kasim, Timbalan Ketua Pengarah Kerja Raya (Sektor Pakar), YBhg. Dato’ Ir. Haji Masri Bin Baharuddin, Pengarah Cawangan Dasar & Pengurusan Korporat (CDPK), serta peneraju-peneraju tema yang terdiri daripada;

TEMA 1 :       Ir. Haji Badioezaman bin Ab. Khalik,

         Pengarah Kanan, Cawangan Pengurusan Aset Bersepadu

 

TEMA 2 :       Pn. Nik Ainun Zanariah binti Nik Abd. Rashid,

         Pengarah Kanan, Cawangan Kerja Bangunan Am 1

 

TEMA 3 :       Ir. Dr. Lim Char Ching,

         Pengarah Kanan, Cawangan Kejuruteraan Awam & Struktur

 

TEMA 4 :       Ar. Ibrahim bin Isa,

        Pengarah Kanan Cawangan Arkitek

 

TEMA 5 :       Ir. Hanizan binti Shaffii,

         Pengarah Kanan, Cawangan Kejuruteraan Elektrik

 

Manakala, tetamu lain yang turut hadir secara atas talian adalah terdiri daripada Pengarah Kanan, Pengarah serta pegawai-pegawai kanan setiap Cawangan, Negeri dan Pasukan Projek Khas. Majlis ini telah dianjurkan oleh Bahagian Pengurusan Perubahan dan Prestasi (BPPP), CDPK yang diterajui oleh Ketua Bahagian, YBrs. Ir. Dr. Haji Zarabizan Bin Haji Zakaria.

Pelan Bisnes Jabatan 2021-2025 merupakan satu dokumen yang memperincikan perancangan bisnes Jabatan bagi tempoh lima (5) tahun akan datang. Objektif dokumen ini dibangunkan adalah untuk memantau dan menilai Pengurusan Prestasi setiap Cawangan, Negeri dan Pasukan Projek Khas yang berada di bawah JKR. Dokumen ini bukan sahaja menjadi penanda aras kepada Petunjuk Prestasi Utama (KPI) Pengurusan Tertinggi malah kepada semua Pengarah Kanan, Pengarah di Cawangan, Negeri dan Pasukan Projek Khas.

Pelan Bisnes Jabatan 2021-2025 ini dibangunkan berpandukan kepada Pelan Strategik JKR 2021-2025 di mana ianya juga berteraskan kepada fungsi serta skop tanggungjawab semua sektor Cawangan, Negeri dan Pasukan Projek Khas di JKR dalam mencapai setiap petunjuk prestasi yang ditetapkan. Jabatan akan memantau rapi pencapaian Pelan Strategik JKR 2021-2025 dan KPI Jabatan berdasarkan sasaran yang telah ditetapkan. Justeru itu, dengan pelaksanaan dan pemantauan bersepadu Pelan Bisnes Jabatan ini, secara langsung dapat menggerakkan pencapaian Pelan Strategik JKR 2021-2025 dan KPI Jabatan.

Adalah diharapkan Pelan Bisnes Jabatan ini akan menjadi pemangkin serta pencetus semangat kepada seluruh warga JKR untuk terus komited dan konsisten dalam mencapai Visi, Misi dan Objektif Jabatan yang telah ditetapkan. Semoga seluruh warga JKR dapat menggembleng usaha dalam merealisasikan inisiatif-inisiatif yang diketengahkan dalam Pelan Bisnes Jabatan bagi memastikan JKR terus kekal relevan di negara ini.