Date: Isnin, Julai 26, 2021

Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia telah melangsungkan Majlis Pelancaran Pelan Pengurusan Risiko (ERM) Jabatan 2021 – 2025 melalui platform WEBEX yang disempurnakan oleh YBhg. Dato’ Ir. Haji Mohamad Zulkefly bin Sulaiman, Ketua Pengarah Kerja Raya pada 26 Julai 2021 jam 8.30 pagi.

Majlis dihadiri secara maya oleh YBhg. Dato’ Ir. Haji Ahmad Redza bin Ghulam Rasool, Timbalan Ketua Pengarah Kerja Raya (Sektor Infra), YBhg. Dato’ Ir. Haji Habbali bin Ibrahim, Timbalan Ketua Pengarah Kerja Raya (Sektor Bangunan), YBrs. Ir. Dr. Lim Char Ching, Pengarah Kanan Cawangan Kejuruteraan Awam dan Struktur yang juga menjalankan tugas sebagai Timbalan Ketua Pengarah Kerja Raya (Sektor Pakar). Turut hadir, Pengarah-Pengarah Kanan, Pengarah-Pengarah Cawangan, Pengarah-Pengarah Negeri/Wilayah dan Jurutera-Jurutera Daerah. Majlis ini telah dianjurkan oleh BPPP, CDPK yang diterajui oleh Ketua Bahagian, YBrs. Ir. Ts. Dr. Haji Zarabizan Bin Haji Zakaria.

Pengurusan risiko merupakan salah satu elemen penting dalam pengurusan sesebuah organisasi yang perlu diberi perhatian. Lantaran itu, Jabatan telah menggariskan hala tuju Pelan Pengurusan Risiko Organisasi berasaskan aspek-aspek seperti perundangan, manusia, reputasi, kewangan dan operasi. Melaluinya, Jabatan boleh mengukur, menganalisis tahap risiko sesuatu program/aktiviti dan seterusnya mengambil tindakan untuk merancang dan mengawal risiko yang dikenal pasti.

Matlamat utama pengurusan risiko organisasi adalah untuk meningkatkan kesedaran keseluruhan warga organisasi terhadap kewujudan apa jua risiko dalam melaksanakan tugas harian, mengurangkan kekerapan berlakunya gangguan dan meminimumkan impak gangguan tersebut terhadap penyampaian perkhidmatan. Menerusi pelaksanaan pengurusan risiko, Jabatan dapat menangani ancaman risiko yang ada dan dapat memberi fokus kepada risiko yang berpotensi untuk berlaku.

Seterusnya, bagi mewujudkan pelan risiko yang lengkap dan sempurna, Jabatan telah melaksanakan proses penganalisan risiko menggunakan model pengurusan risiko secara sistematik dan tersusun. Penganalisaan yang sempurna menjamin insiden-insiden risiko dikenal pasti berdasarkan perkhidmatan teras jabatan ini.

Penghasilan Pelan Pengurusan Risiko Organisasi (ERM) Jabatan 2021-2025 merupakan komitmen bersepadu Jabatan dalam merealisasikan perancangan strategik yang digariskan dalam Pelan Strategik dan Pelan Bisnes JKR 2021-2025. Perincian insiden risiko disusuli dengan strategi rawatan pencegahan dan mitigasi yang mantap serta resilient, pelaksanaan yang teratur serta pemantauan yang berkesan perlu dizahirkan oleh semua sektor Cawangan, Negeri dan Pasukan Projek Khas di JKR demi mencapai matlamat penyampaian perkhidmatan yang terbaik berteraskan kecemerlangan dan keberhasilan.

Semoga pelancaran ini akan mencetuskan momentum semangat kepada seluruh warga JKR untuk terus komited dengan adanya strategi rawatan yang telah digariskan dan konsisten dalam merealisasikan inisiatif-inisiatif yang diketengahkan dalam Pelan Strategik JKR dan Pelan Bisnes Jabatan bagi memastikan JKR terus kekal relevan sebagai pusat rujukan teknikal negara sekaligus menyumbang kepada penyampaian perkhidmatan yang terbaik berteraskan kecemerlangan dan keberhasilan.

Klik untuk muat turun teks ucapan KPKR