Date: Jumaat, Oktober 2, 2020

MAJLIS PELANCARAN PELAN STRATEGIK JABATAN KERJA RAYA MALAYSIA 2021-2025 YANG DIRASMIKAN OLEH YB DATO' SRI HAJI FADILLAH BIN HAJI YUSOF MENTERI KANAN KERJA RAYA MALAYSIA BERTEMPAT DI DEWAN TAN SRI ABU ZAHAR MENARA LEMBAGA PERTUBUHAN PELADANG (LPP) 29 SEPTEMBER 2020.

Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia telah mengadakan Majlis Pelancaran Pelan Strategik JKR 2021 – 2025 yang disempurnakan oleh Yang Berhormat Dato’ Sri Haji Fadillah bin Haji Yusof, Menteri Kanan Kerja Raya pada 29 September 2020 bertempat di Dewan Tan Sri Abu Zahar, Menara Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Kuala Lumpur.

Majlis ini telah dihadiri oleh 300 orang jemputan yang terdiri daripada Yang Berhormat Dato’ Sri Haji Fadillah bin Haji Yusof, Menteri Kanan Kerja Raya, Yang Berhormat Dato’ Eddin Syazlee Bin Shith, Timbalan Menteri Kerja Raya, YBhg. Dato’ Dr. Syed Omar Sharifuddin Bin Syed Ikhsan, Ketua Setiausaha (KSU) Kerja Raya, YBhg. Datuk Badrul Hisham bin Mohd, Timbalan Ketua Setiausaha (TKSU) (Dasar dan Pembangunan), YBhg. Dato’ Ir. Haji Mohamad Zulkefly bin Sulaiman, Ketua Pengarah Kerja Raya (KPKR), YBrs. Ir. Haji Zulakmal bin Haji Supian, Timbalan Ketua Pengarah Kerja Raya (TKPKR) (Sektor Infra), YBrs. Ir. Razdwan bin Kasim, Timbalan Ketua Pengarah Kerja Raya (TKPKR) (Sektor Bangunan), serta pegawai-pegawai kanan JKR yang terdiri daripada Pengarah Kanan / Pengarah Cawangan dan Negeri, Jurutera-Jurutera Daerah, pegawai-pegawai Kader dari seluruh negara dan pihak media.

Dokumen Pelan Strategik JKR 2021 – 2025 adalah merupakan perancangan strategik jangka panjang Jabatan merangkumi hala tuju, bidang fokus dan pelan tindakan bagi tempoh lima (5) tahun akan datang. Ia merupakan kesinambungan daripada Kerangka Strategik JKR 2007 – 2010, Kerangka Strategik JKR 2012 – 2015 dan Pelan Strategik JKR 2016 – 2020.

Pelan Strategik JKR 2021 – 2025 ini juga telah dibangunkan seiring dengan Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB) 2030 dan penguatkuasaan Arahan Perbendaharaan (AP182) di mana Jabatan Kerja Raya selaku agensi teknikal utama negara telah diberi mandat dan tanggungjawab untuk melaksanakan pembangunan infrastruktur negara.

Hala tuju strategik JKR 2021 – 2025 adalah berasaskan kepada lima (5) Tema Strategik iaitu

  1. Tema 1: Kecemerlangan Pengurusan Aset Menyeluruh
  2. Tema 2: Pengalaman Ko-Kreatif Bersama Pelanggan
  3. Tema 3: Pusat Kecemerlangan Teknikal
  4. Tema 4: Memacu Kelestarian d
  5. Tema 5: Organisasi Inovatif

Sesungguhnya melalui penghasilan Pelan Strategik JKR ini, penetapan beberapa lonjakan, strategi dan sasaran Petunjuk Prestasi Utama (KPI) dilihat sebagai usaha yang murni dan seiring dengan matlamat serta hala tuju negara bagi menambah baik kualiti sistem penyampaian perkhidmatan.

Antara intipati ucapan perasmian Yang Berhormat Dato’ Sri Haji Fadillah bin Haji Yusof, Menteri Kanan Kerja Raya adalah seperti berikut:

  • Pelan Strategik JKR 2021-2025 pada kali ini dirangka lebih mantap, menyeluruh dan komprehensif melalui penambahbaikan daripada aspek Kecemerlangan Pengurusan Projek kepada Kecemerlangan Pengurusan Aset Menyeluruh (PAM).
  • Pendekatan ini dapat mengoptimumkan penggunaan dan memanjangkan jangka hayat aset, menjimatkan perbelanjaan kerajaan, meningkatkan imej kerajaan dan seterusnya membantu menjana pertumbahan ekonomi negara.
  • Di samping itu, elemen Industrial Revolution (IR) 4.0 turut diadaptasikan dalam Tema-Tema Strategik agar sejajar dengan senario kepesatan teknologi global dan transformasi penggunaan digital bagi memenuhi keperluan penyampaian perkhidmatan awam.
  • JKR telah menyahut saranan Ketua Setiausaha Negara (KSN), Ybhg. Tan Sri Mohd Zuki Bin Ali supaya perkhidmatan yang diberikan harus bersifat tech-enabled supaya teknologi digital dapat dimanfaatkan serta seiring dengan evolusi masa kini, yang dikemudi oleh IR 4.0 dalam sistem penyampaian perkhidmatan awam.
  • Bagi tempoh lima (5) tahun akan datang, pemerkasaan adaptasi BIM dalam pelaksanaan projek akan difokuskan melalui sasaran 50 % projek bernilai RM10 juta ke atas dilaksanakan secara BIM dan peningkatan sebanyak 10% pada setiap tahun berikutnya sehingga tahun 2025.
  • JKR juga mensasarkan 100% projek bernilai RM10 juta ke atas memperolehi skor IBS melebihi 70%.
  • Selain itu, pemerkasaan adaptasi Pre-Approved Plan (PAP) bagi projek bangunan akan diberi penekanan melalui sasaran 6% projek bangunan menggunapakai rekabentuk PAP setiap tahun dan peningkatan sebanyak 30% dalam tempoh lima (5) tahun.
  • JKR berhasrat menjadi peneraju pembangunan lestari dengan memacu pembangunan infrastruktur jalan dan bangunan yang seimbang dari aspek ekonomi, sosial dan alam sekitar bagi mencapai Matlamat Pembangunan Lestari (Sustainable Development Goals).
  • Bagi mencapai matlamat tersebut, JKR telah mensasarkan pengurangan pelepasan karbon bagi projek bangunan yang melaksanakan Penarafan Hijau (pHJKR) serta bangunan yang dihuni dan dikawal selia oleh JKR.
  • JKR juga menggalakkan penggunaan Tenaga Boleh Baharu (TBB) dalam projek infrastruktur jalan dan bangunan melalui sasaran yang ditetapkan dalam pelan strategik ini.
  • Bagi mencapai aspirasi untuk menjadi pusat kecemerlangan kejuruteraan dan teknologi negara bertaraf dunia, pemerkasaan inovasi dan teknologi terkini akan terus dipergiatkan melalui penghasilan inovasi dan teknologi terkini serta seterusnya mengangkat produk inovasi yang dihasilkan kepada fasa pengkomersialan.

Bersempena Majlis Pelancaran Pelan Strategik JKR 2021 – 2025 ini juga, Ir. Haji Zulakmal bin Haji Supian, Timbalan Ketua Pengarah Kerja Raya (TKPKR) (Sektor Infra) telah menyampaikan beberapa sijil khas kepada penerima iaitu:

i. Sijil Pelantikan Penaja (Sponsor) Strategik kepada YBrs Ir. Razdwan bin Kasim, Timbalan Ketua Pengarah Kerja Raya (Sektor Bangunan)

ii. Sijil Pelantikan Peneraju Strategik kepada Ir Harjit Singh A/L Inder Singh, Pengarah

Cawangan Perancangan Aset Bersepadu (CPAB) (Tema 1)

iii. Datuk Ir. Ruslan bin Abdul Aziz, Pengarah Kanan Cawangan Kerja Bangunan Am (CKBA1) (Tema 2)

iv. Ir. Hj. Badioezaman Bin Ab. Khalik, Pengarah Cawangan Kejuruteraan Awam dan Struktur (CKAS) (Tema 3)

v. Ar. Ibrahim bin Isa, Pengarah Rekabentuk 2, Cawangan Arkitek (Tema 4)

vi. Ir. Hanizan Bt Shaffii, Pengarah Cawangan Kejuruteraan Elektrik (CKE) (Tema 5)

Satu sidang media dan sesi pembentangan Overview Pelan Strategik JKR 2021 – 2025 juga telah diadakan sebelum majlis berakhir bertujuan untuk memberi pendedahan kepada pegawai-pegawai kanan JKR yang hadir berkenaan inspirasi dan hala tuju Jabatan bagi tempoh lima (5) tahun akan datang. Majlis ini telah mendapat liputan yang luas daripada pihak media seperti Astro Awani, Bernama, Sinar Harian, Harian Metro dan New Straits Times (NST).