Date: Rabu, September 29, 2021

Tarikh 29 September 2021 merupakan tarikh bermakna buat Jabatan Kerja Raya Malaysia kerana pada tarikh yang sama setahun yang lalu, Jabatan ini telah berjaya melancarkan Pelan Strategik JKR 2021-2025 secara rasminya oleh Yang Berhormat Dato’ Sri Haji Fadillah bin Haji Yusof, Menteri Kanan Kerja Raya pada 29 September 2020 yang lalu. Maka genaplah setahun Pelan Strategik JKR 2021-2025 diwujudkan dan dijadikan matlamat strategik warga JKR bagi mencapai visi dan misi utama Jabatan ini.

Bersempena dengan itu, Jabatan Kerja Raya telah mengadakan Majlis Pelancaran Pop-Up Backdrop Pelan Strategik JKR 2021 – 2025 yang telah disempurnakan oleh YBhg. Dato’ Ir. Haji Mohamad Zulkefly Bin Haji Sulaiman, Ketua Pengarah Kerja Raya pada 29 September 2021 bertempat di lobi Menara Kerja Raya 2, Blok G.

Majlis pelancaran yang serba ringkas ini telah berjalan dengan lancar dengan gimik potongan riben sebagai simbolik kepada penggunaan pop-up backdrop ini sebagai salah satu usaha JKR bagi mempromosikan Pelan Strategik JKR 2021-2025 dengan lebih agresif kepada seluruh warga kerja JKR.

Majlis ini juga turut dihadiri oleh YBhg. Dato' Ir. Haji Ahmad Redza bin Ghulam Rasool, Timbalan Ketua Pengarah Kerja Raya (Sektor Infra) selaku Penaja Strategik dan juga Pengarah Cawangan Dasar dan Pengurusan Korporat (CDPK) iaitu YBhg. Dato Ir Haji Masri bin Baharuddin.

Inisiatif promosi dan hebahan Pelan Strategik JKR 2021-2025 melalui pop-up backdrop ini adalah diharapkan dapat menjadi medium yang menarik, informatif dan bermanfaat kepada seluruh warga JKR, seterusnya hala tuju Jabatan yang telah digariskan dalam Pelan Strategik JKR 2021-2025 dapat direalisasikan dalam tempoh lima (5) tahun yang akan datang. Semoga ianya juga menjadi aspirasi buat seluruh warga JKR agar terus tekad dalam mengekalkan JKR Malaysia sebagai sebuah agensi teknikal terulung negara.