ALOR GAJAH, MELAKA, 23 Oktober 2024 – YBrs. Ir. Mohd Shahrom bin Ahmad Saman, Timbalan Ketua Pengarah Kerja Raya (Sektor Infra) telah menyempurnakan Majlis Penganugerahan Sijil Kompetensi Teknikal Jabatan Kerja Raya Malaysia tahun 2024 di Dewan Pusat Kecemerlangan Kejuruteraan dan Teknologi (CREaTE) JKR. Turut hadir sama, YBrs. Ir. Hj. Zulkifli bin Abdul Rashad, Timbalan Ketua Pengarah Kerja Raya Sektor (Pakar), YBhg Dato’ Ir. Ibrahim bin Esa, Timbalan Ketua Pengarah Kerja Raya (Sektor Bangunan); YBrs. Ir. Dr. Sherliza binti Zaini Sooria, Pengarah Bahagian Inovasi, Penyelidikan dan Pembangunan Kejuruteraan (BIPPK) Menjalankan tugas Pengarah Kanan CREaTE dan Pegawai-Pegawai Kanan Jabatan Kerja Raya.
Program Pensijilan Kompetensi Teknikal merupakan program tahunan JKR Malaysia yang telah diperkenalkan sejak tahun 2017. Program ini telah dimulai dengan pensijilan di bawah disiplin Kejuruteraan awam sebanyak 13 kompetensi, Kejuruteraan Mekanikal 3 kompetensi, Kejuruteraan Elektrik 7 kompetensi, Arkitek 10 kompetensi dan Ukur Bahan 1 kompetensi.
Seiring dengan pelaksanaan yang telah mencapai tahun ke-sembilan pada tahun ini, program ini telah diperluas kepada 77 bilangan kompetensi teknikal untuk kumpulan Pengurusan dan Profesional, dan 68 bilangan kompetensi teknikal untuk Kumpulan Pelaksana. Terdapat beberapa kompetensi baharu pada tahun ini iaitu Kompetensi Inovasi, Kompetensi Penyampaian Latihan dan Kompetensi Penyelidikan dan Pembangunan.
Pelaksanaan Program Pensijilan Kompetensi Teknikal bagi tahun ini telah bermula pada 1 Mac 2024 di mana 781 permohonan telah diterima oleh Jawatankuasa Program Pensijilan Kompetensi Teknikal 2024 merangkumi 580 orang calon dari kategori Pengurusan dan Professional dan seramai 201 orang calon dari kategori Pelaksana.
Sejumlah 678 calon telah melepasi syarat kelayakan asas pensijilan dan kecukupan dokumen saringan peringkat pertama. Kemudiannya, sesi temuduga telah dilaksanakan bermula 15 Julai 2024 dan selesai pada 2 Ogos 2024 melibatkan seramai 573 calon dan 183 Panel Penilai. Sesi penilaian kesemua calon telah selesai pada 3 Ogos 2024 menyaksikan seramai 531 orang calon telah lulus dan akan menerima sijil mengikut tahap masing-masing.
Semoga pelaksanaan program ini dapat menjadi pembakar semangat kepada kakitangan JKR yang lain dan memastikan lebih banyak kakitangan JKR mempunyai kepakaran dalam bidang masing-masing. Semoga JKR terus kekal sebagai Jabatan Teknikal Negara terunggul dan disegani.
Setinggi-tinggi tahniah diucapkan kepada para penerima Sijil Kompetensi Program Pensijilan Kompetensi Teknikal Jabatan Kerja Raya Malaysia Tahun 2024.
#IamJKR #KitaJKR #JKRsynergy
#JasaKepadaRakyat
- 1174 bacaan