Date: Jumaat, Februari 18, 2022

Tanggal 29 September 2020 adalah detik bersejarah menyaksikan pelancaran Pelan Strategik JKR Malaysia 2021-2025 oleh YB Menteri Kanan Kerja Raya. Halatuju, bidang fokus dan pelan tindakan yang jitu direncanakan dengan penuh inklusiviti serta komprehensif ke arah penyampaian keberhasihan melangkaui ekspektasi untuk rakyat dan Negara. Acuan dan agenda tersusun dengan penuh kesempurnaan adalah prinsip dalam pembentukan pembudayaan amalan terbaik berstrategik melalui keterangkuman keazaman dan hasrat kejayaan bagi menjadikan JKR kekal relevan sebagai agensi teknikal terulung di negara ini.

Hakikatnya, kebersamaan YBhg. Datuk KPKR, Penaja dan Peneraju Tema merupakan gagasan padu serta tulang belakang ke atas kejayaan Pelan Strategik JKR Malaysia 2021. Kemuafakatan seluruh warga JKR juga adalah nadi penggerak kepada kejayaan yang dikecapi ini. Komitmen dan daya usaha yang amat jitu oleh semua pihak adalah tunjang terhasilnya lakaran kejayaan gemilang tahun 2021. Amat membanggakan di mana kesemua Tema telah berjaya meraih pencapaian 100% . Semoga kejayaan ini dapat diteruskan sehingga berakhir tahun 2025.

Bagi menghargai sumbangan dan kejayaan tahun 2021, CDPK telah menganjurkan majlis khas untuk menghargai jasa serta sumbangan yang dicurahkan dengan acara menyerahkan sijil penghargaan kepada Penaja dan lima (5) Peneraju Tema Pelan Strategik. Penghargaan ini juga adalah sebagai simbolik kepada seluruh warga JKR Malaysia yang bertungkus-lumus dan bersama-sama dalam memastikan kejayaan yang dikecapi ini. Majlis penghargaan ini telah disempurnakan oleh YBhg. Datuk Ir. Haji Mohamad Zulkefly bin Sulaiman, Ketua Pengarah Kerja Raya (KPKR) Malaysia Malaysia pada 17 Februari 2022 (Khamis) bertempat di Lobi Aras 2, Blok G Menara Kerja Raya, Kuala Lumpur.

Sijil penghargaan telah disampaikan kepada:

  1. YBhg Dato' Ir. Haji Ahmad Redza bin Ghulam Rasool (Timbalan Ketua Pengarah Sektor Infra) – selaku Penaja Pelan Strategik JKR Malaysia
  2. YBrs. Ir Atikah binti Zakaria (Pengarah BPPK CPAB) – Wakil Peneraju Tema 1
  3. YBrs. Pn. Nik Ainun Zanariah binti Nik Abd. Rashid (Pengarah Kanan CKBA1) - Peneraju Tema 2
  4. YBrs. Ir. Haji Badioezaman bin Ab. Khalik (Pengarah Kanan CKAS) - Peneraju tema 3
  5. YBrs. En Shazali bin Samsudin (Arkitek Penguasa Kanan CA) – Wakil Peneraju Tema 4
  6. YBrs. Ir. Hanizan binti Shaffii (Pengarah Kanan CKE) - Peneraju Tema 5

Kemuncak majlis penghargaan ini adalah penyerahan Plaque Pelan Strategik JKR Malaysia 2021-2025 daripada CDPK kepada YBhg. Datuk KPKR selaku Pengerusi Jawatankuasa Pemandu Pelan Strategik.

Melangkah ke hadapan dengan persekitaran yang semakin mencabar dan jangkaan pelanggan serta pihak berkepentingan yang kian dinamik, satu wahana yang mantap diperlukan jabatan agar sentiasa bersedia melaksanakan transformasi dan manifestasi iltizam agar terus kekal relevan sejajar dengan Visi dan Misi Jabatan juga hala tuju negara.

Semoga majlis penghargaan ini menjadi pencetus semangat kepada seluruh warga Jabatan Kerja Raya untuk terus komited dan konsisten dalam merealisasikan inisiatif-inisiatif untuk baki 4 tahun akan datang sebagaimana dinyatakan dalam Pelan Strategik JKR 2021-2025. Sekaligus ianya dapat menyumbang kepada penyampaian perkhidmatan yang terbaik berteraskan kecemerlangan dan keberhasilan menyeluruh.