Date: Rabu, March 30, 2022
Petunjuk   Prestasi   Utama (KPI) adalah satu sistem keterangkuman pengukuran yang mudah, inklusif dan efektif dalam membantu Penjawat Pengurusan Tertinggi Perkhidmatan Awam (PPTPA) menjelaskan dan mengawal serta memantau tahap kemajuan perkhidmatan yang disampaikan kepada pelanggan selaras dengan misi dan visi organisasi. Prinsipnya, adaptasi KPI dalam pengukuran prestasi PPTPA memfokuskan kepada hala tuju, bidang fokus dan pelan tindakan yang komprehensif.

Sepanjang tahun 2021 pencapaian keseluruhan KPI melebihi ekspektasi yang telah ditetapkan. Tahun 2021 di mana dunia masih berdepan dengan isu pendemik, namun ianya tidak menjadi penghalang kepada KPI JKR bagi melakarkan pencapaian yang tertinggi iaitu hampir keseluruhan PPTPA mencapai 100% dan selebihnya mencapai minima 98.26%. Ini merupakan purata pencapaian terbaik yang pernah direkodkan di JKR Malaysia.
 
Hakikatnya, kemuafakatan dan keberkesanan seluruh warga JKR juga adalah nadi penggerak kepada kejayaan KPI untuk PPTPA di semua tier yang dikecapi ini. Komitmen dan daya usaha yang amat jitu oleh semua pihak adalah tunjang terhasilnya lakaran kejayaan gemilang tahun 2021
 
Bagi menghargai sumbangan dan kejayaan tahun 2021, YBhg. Datuk Ir. Haji Mohamad Zulkefly bin Sulaiman, Ketua Pengarah Kerja Raya (KPKR) telah berbesar hati untuk menyampaikan sijil pencapaian kepada semua PPTPA Tier 2 dan semua Pengarah Kanan JKR Malaysia. Penghargaan ini juga adalah sebagai simbolik kepada seluruh warga JKR Malaysia yang bertungkus-lumus dan bersama-sama dalam memastikan kejayaan yang dikecapi ini.
 
Majlis penyampaian sijil ini telah disempurnakan oleh YBhg. Datuk KPKR pada 30 Mac 2022 (Rabu) bertempat di Lobi Aras 2, Blok G Menara Kerja Raya, Kuala Lumpur.
 

Semoga majlis penghargaan ini menjadi pencetus semangat kepada semua PPTPA Tier 2 sehingga Tier 4 di Jabatan Kerja Raya untuk terus komited dan konsisten dalam merealisasikan visi, misi, bidang fokus dan halatuju JKR Malaysia. Sekaligus ianya dapat menyumbang kepada penyampaian perkhidmatan yang terbaik berteraskan kecemerlangan dan keberhasilan menyeluruh.