Date: Selasa, Disember 4, 2018

Majlis Penyampaian Surat Pengiktirafan Kepakaran dan Pemangkuan kepada Pegawai Pakar Bidang Khusus (Subject Matter Expert – SME) Jabatan Kerja Raya telah diadakan pada hari Isnin, 3 Disember 2018 bertempat di Aras Mezzanine, Blok G, Menara Kerja Raya.

Majlis yang julung kalinya diadakan ini diserikan lagi dengan kehadiran YBhg. Datuk Seri Borhan Bin Dolah, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam bagi meraikan dan menyampaikan surat  pengiktirafan Pakar Bidang Khusus (Subject Matter Expert – SME) dan pemangkuan kepada 13 orang Pegawai SME JKR.

Turut hadir sama dalam majlis tersebut adalah YBhg. Dato' Sri Zohari bin Haji Akob, Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya, YBhg. Dato’ Sri Ir. Dr. Roslan bin Md Taha, Ketua Pengarah Kerja Raya serta Pegawai - pegawai Kanan Kementerian dan Agensi Kerajaan.

Seramai 13 orang pegawai yang diiktiraf sebagai Pegawai Pakar Bidang Khusus (Subject Matter Expert – SME) berperanan untuk memberikan khidmat pakar dan menjadi sumber rujukan dalam dan luar organisasi mengikut bidang kepakaran masing-masing.

Tahniah dan Syabas diucapkan kepada semua Pegawai Pakar Bidang Khusus (Subject Matter Expert – SME) JKR di atas pengiktirafan yang diterima. Seluruh warga JKR turut berbangga dengan pengiktirafan ini. Semoga JKR akan dapat melahirkan lebih ramai pakar dalam menghadapi cabaran globalisasi, liberalisasi dan ledakan teknologi.