Date: Selasa, Januari 12, 2016
Majlis Penyampaian Surat Setuju Terima Bagi Projek-Projek Rancangan Malaysia Ke-11 (RMKe-11) telah diadakan pada 12 Januari 2016 (Selasa) bertempat di Bilik Tanjung, Tingkat 6, Blok A, Kementerian Kerja Raya Malaysia.Majlis dihadiri oleh YB Menteri Kerja Raya, Dato' Sri Hj Fadillah B Hj Yusof, Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya, YBhg. Dato' Sri Zohari bin Haji Akob, YBrs. Tuan Haji Sarani bin Dollah,Timbalan Ketua Setiausaha (Sektor Pengurusan), YBrs. Encik Abdul Razak bin Jaafar,Timbalan Ketua Setiausaha (Sektor Dasar & Pembangunan),YBhg. Datuk Ir. Adanan bin Mohamed Hussain, Ketua Pengarah Kerja Raya Malaysia dan juga Pengurusan Tertinggi JKR.
 
Majlis diadakan bertujuan untuk menyerahkan Surat Setuju Terima (SST) oleh YB Menteri Kerja Raya kepada kontraktor yang berjaya di antara bulan Disember 2015 dan Januari 2016. Di samping itu, ia juga bertujuan untuk menghargai peranan kontraktor sebagai Rakan Kongsi Kerajaan dalam industri pembinaan negara.
 
Majlis dimulakan pada jam 9.00 pagi dengan ketibaan YB Menteri Kerja Raya dan seterusnya menyampaikan ucapan.Di dalam ucapan beliau telah menegaskan agar para kontraktor perlu mematuhi setiap spesifikasi yang telah dinyatakan dalam kontrak. Ini termasuk pengurusan keselamatan dan kesihatan di tapak bina, meningkatkan mutu kerja pembinaan, mengurangkan berlakunya kecacatan (defect) serta risiko kemalangan di tapak bina.Beliau juga memaklumkan menjelang tahun 2018, semua bangunan kerajaan akan dibina menggunakan piawaian daripada Pentaksir Kualiti Dalam Sistem Pembinaan (QLASSIC) . 
 
Beliau juga menyentuh mengenai isu kelewatan projek yang merupakan isu utama yang dihadapi oleh pihak JKR dan Kementerian Kerja Raya sebagai Kementerian yang bertanggungjawab dalam perkara ini menganggap ia sebagai suatu perkara yang sangat serius dan merupakan berita yang tidak disenangi oleh para pelanggan. Ini dapat dilihat melalui Projek Pembinaan Hospital Shah Alam, Projek Pembinaan Fakulti Pergigian UiTM Sungai Buloh dan Projek Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2). Perkara ini telah dibangkitkan semasa Sidang Parlimen, mendapat liputan media-media utama seperti akhbar tempatan dan televisyen serta media sosial. Pelbagai tafsiran yang negatif telah dilemparkan yang sebenarnya adalah rintihan daripada rakyat sendiri.13.Justeru, beliau mengharapkan agar para kontraktor yang hadir pada hari ini dapat menyiapkan projek masing-masing mengikut tempoh masa yang ditetapkan. Dalam masa yang sama juga berharap agar kualiti yang dihasilkan adalah mengikut spesifikasi yang ditetapkan dalam kontrak serta mengamalkan budaya keselamatan yang diterapkan melalui kempen yang dilaksanakan oleh kementerian dan CIDB.
 
Seterusnya, YB Menteri Kerja Raya menyampaikan Surat Setuju Terima daripada kepada 20 kontraktor yang dijemput. Majlis diteruskan dengan sidang media bersama YB Menteri dan berakhir pada jam 10.30 pagi.