Date: Selasa, Februari 23, 2016
Majlis Penyampaian Surat Setuju Terima Bagi Projek-Projek Rancangan Malaysia Ke-11 (RMKe-11) Bil 2/2016 telah diadakan pada 23 Februari 2016 (Selasa) bertempat di Plaza Menara Kerja Raya, Blok G, Jabatan Kerja Raya Malaysia.Majlis dihadiri oleh YBhg. Datuk Ir. Adanan bin Mohamed Hussain, Ketua Pengarah Kerja Raya Malaysia dan juga Pengurusan Tertinggi JKR.
 
Majlis diadakan bertujuan untuk menyerahkan Surat Setuju Terima (SST) oleh YBhg. Ketua Pengarah Kerja Raya kepada kontraktor yang berjaya yang melibatkan 39 projek merangkumi projek penyiasatan tanah, bangunan, penyenggaraan, jalan dan khidmat runding bagi projek-projek RMKe-11. Ia juga bertujuan untuk menghargai peranan kontraktor sebagai Rakan Kongsi Kerajaan dalam industri pembinaan negara.
 
Majlis dimulakan pada jam 11.30 pagi dengan ketibaan YBhg. Ketua Pengarah Kerja Raya dan seterusnya menyampaikan ucapan.Di dalam ucapan beliau telah menegaskan agar para kontraktor perlu memupuk perasaan 'sense of ownership' terhadap projek yang diperolehi dan bijak menguruskan aliran tunai agar projek berjalan lancar.Beliau juga menegaskan supaya para kontraktor mematuhi setiap spesifikasi yang telah dinyatakan dalam kontrak. Ini termasuk pengurusan keselamatan dan kesihatan di tapak bina, meningkatkan mutu kerja pembinaan, mengurangkan berlakunya kecacatan (defect) serta risiko kemalangan di tapak bina.Beliau juga memaklumkan menjelang tahun 2018, semua bangunan kerajaan akan dibina menggunakan piawaian daripada Pentaksir Kualiti Dalam Sistem Pembinaan (QLASSIC) . 
 
Beliau juga menyentuh mengenai isu kelewatan projek yang merupakan isu utama yang dihadapi oleh pihak JKR yang bertanggungjawab dalam perkara ini menganggap ia sebagai suatu perkara yang sangat serius dan merupakan berita yang tidak disenangi oleh para pelanggan. Beliau memaklumkan bahawa Notis/Amaran akan dikeluarkan bagi projek lewat 1 bulan dan kontrak akan ditamatkan sekiranya kelewatan masih berlarutan sehingga melebihi 2 bulan atau 20% daripada tarikh atau jadual yang ditetapkan mengikut mana yang terdahulu. Justeru, beliau mengharapkan agar para kontraktor yang hadir pada hari ini dapat menyiapkan projek masing-masing mengikut tempoh masa yang ditetapkan. Dalam masa yang sama juga berharap agar kualiti yang dihasilkan adalah mengikut spesifikasi yang ditetapkan dalam kontrak serta bekerjasama dan mempunyai hubungan baik dengan JKR serta sentiasa berkomunikasi dengan pihak JKR agar projek dapat dilaksanakan dengan sempurna.
 
Seterusnya, YBhg. KPKR menyampaikan Surat Setuju Terima daripada kepada 39 kontraktor yang dijemput. Majlis berakhir pada jam 12.30 tengahhari.