Date: Selasa, November 14, 2023

Majlis Penyerahan Dokumen Terbitan JKR kepada Perpustakaan JKR telah berlangsung pada 1 November 2023 bertempat di Perpustakaan JKR, Tingkat 16, Blok F, Ibu Pejabat JKR Malaysia. Program anjuran bersama Cawangan Perancangan Aset Bersepadu dan Cawangan Dasar dan Pengurusan Korporat ini telah disempurnakan oleh YBhg. Datuk Ir. Ahmad Redza bin Ghulam Rasool, Ketua Pengarah Kerja Raya.

Majlis yang julung-julung kali diadakan turut diserikan dengan kehadiran tetamu jemputan, YBhg. Dato’ Ir. Roslan bin Ismail, Pengarah Kanan Cawangan Perancangan Aset Bersepadu, YBhg. Dato’ Ir. Ts. Hj. Masri bin Baharuddin, Pengarah Cawangan Dasar dan Pengurusan Korporat, Pengarah-Pengarah Kanan dan Pengarah-Pengarah dari Cawangan Ibu Pejabat JKR Malaysia.

Sebanyak 111 dokumen yang dihasilkan oleh pelbagai cawangan di Ibu Pejabat JKR Malaysia dari tahun 2021 hingga 2023 telah diserahkan kepada Perpustakaan JKR bagi menambah koleksi bahan bacaan sediada. Dokumen-dokumen ini termasuk antaranya Garis Panduan, Manual, Tatacara, Arahan Teknik, Spesifikasi dan Jadual Kadar Harga.  Kini, Perpustakaan JKR memiliki sebanyak 36,000 nashkah monograf yang terdiri daripada buku, tesis, piawaian (standard), kertas peperiksaan JKR, majalah/jurnal, lukisan pelan, dokumen kontrak, gambar program JKR dan Current Law Journal (dalam talian).

Susulan daripada majlis penyerahan dokumen, satu sesi taklimat ringkas mengenai “e-Note - Sistem Nombor Terbitan Elektronik JKR” telah disampaikan oleh wakil Perpustakaan JKR bagi memperkenalkan sistem inovasi bagi menambahbaik proses permohonan nombor terbitan JKR dari rekod konvensional ke digital. Prosedur ini merupakan usaha bersepadu jabatan untuk mewujudkan satu sistem yang teratur dan berkesan bagi mengumpul, melengkapkan dan mengenalpasti judul dan bilangan terbitan yang dikeluarkan oleh setiap Cawangan/JKR Negeri.

serah dokumen

serah dokumen

serah dokumen

serah dokumen