Date: Khamis, September 1, 2022

Majlis penyerahan dua projek Menaiktaraf Bekalan Elektrik (Pemasangan Sistem Solar) untuk Klinik Kesihatan Nanga Gaat dan projek Menaiktaraf Bekalan Elektrik (Pemasangan Sistem Solar) untuk Klinik Kesihatan Lio Mato, Negeri Sarawak telah diadakan pada 25hb Ogos 2022 yang lalu di Klinik Kesihatan Nanga Gaat, Kapit, Sarawak. Kedua-dua projek telah berjaya disiapkan 53 hari awal dari tarikh siap asal. Projek ini juga berjaya diserahkan kepada pihak pelanggan secara tujuh dalam satu (7-in-1) iaitu:

 

  1. Projek berjaya disiapkan lebih awal dari Tarikh Siap Asal (53 hari awal);
  2. ii. Sijil Perakuan Siap Kerja (Certificate of Practical Completion-CPC);
  3. iii. Lukisan Siap Bina (As-Built Drawing);
  4. iv. Penyiapan Penyata Akaun Muktamad (Statement Of Final Account-SOFA);
  5. v. Penjimatan kos kontrak;
  6. vi. Penjilidan Dokumen Penyerahan serta Operation & Manual (O&M); dan
  7. vii. Sifar Major Kecacatan (Zero Major Defects

 

Sistem solar habrid di klinik ini merupakan projek pertama yang dilaksanakan oleh JKR Malaysia menggunakan solar panel jenis bifacial panel yang mampu menjana tenaga elektrik daripada matahari dari kedua-dua belah permukaan panel dan meningkatkan kadar efisiensi solar panel. Selain itu sistem penstoran tenaga juga menggunakan teknologi bateri terkini yang berasaskan sodium membolehkan sistem yang direkabentuk adalah lebih kos efektif.

 

Sistem ini memberi manfaat yang besar kepada petugas-petugas klinik dan impak yang menyeluruh kepada penduduk setempat. Kini, klinik memperoleh bekalan elektrik 24 jam daripada tenaga hijau yang lebih mesra alam, berbanding hanya 6 - 8 jam sehari sahaja sebelum ini menggunakan janakuasa diesel.

 

Penyerahan projek ini telah disempurnakan oleh YBrs. Ir. Hanizan binti Shaffii, Pengarah Kanan, Cawangan Kejuruteraan Elektrik (CKE), Ibu Pejabat JKR Malaysia kepada YBrs. Encik Mohamed Yazid bin Kuman, Ketua Jurutera Negeri, Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak (JKNS) bagi pihak Kementerian Pelanggan iaitu Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Majlis penyerahan ini turut disaksikan oleh  YBrs. Encik Paul Sazin Riget, Timbalan Pengarah Pengurusan JKNS, YBrs. Ir. Noor Ashikin bt Md. Tamimi, Pengarah Perkhidmatan Pakar, CKE yang diberi tanggungjawab sebagai Pegawai Penguasa, YBrs. Encik Joe Mclaren anak Tommy, Pengurus Syarikat Pristine Growth Sdn Bhd, Wakil pegawai-pegawai daripada Pejabat Kesihatan Bahagian (PKB) Kapit & Miri, pegawai-pegawai daripada HOPT dan HODT serta kakitangan Klinik Kesihatan Nanga Gaat.