Date: Isnin, Mei 7, 2018

Majlis penyerahan Garaj Utama Kenderaan 8x8 dan Kenderaan Pasukan Di Kem Sunggala, Port Dickson, Negeri Sembilan  telah diadakan pada 3hb Mei 2018 (Khamis) pada jam 9.00 pagi bertempat di Garaj Utama Kenderaan 8x8 tersebut.

Penyerahan projek ini telah disempurnakan oleh YBhg. Dato’ Abdul Karim Bin Mohd Tahir, Pengarah JKR Negeri Sembilan selaku Pengarah Projek kepada Leftenan Kolonel Amran Bin Alias, Pegawai Pemerintah Kem 2 Amor, Kem Sunggala Port Dickson selaku pengguna projek ini.

Majlis turut disaksikan oleh YBrs. Ir. Hj. Hanan Bin Hj. Elias, Pengarah Cawangan Kerja Keselamatan selaku Pengurus Program, Leftenan Kolonel Rozlan Bin Mohd Razi, Sel Pemantauan Projek Infrastruktur dan Senggaraan Tentera Darat (SPPISTD), Kementerian Pertahanan, Leftenan Kolonel Ahmad Sallahuddin Ibrahim, wakil-wakil Kementerian Pertahanan, Pegawai – pegawai Kanan Kem Sunggala Port Dickson, Pegawai – pegawai Jabatan Kerja Raya serta pihak Kontraktor.

Penyerahan projek ini merupakan satu lagi kesinambungan pencapaian pembangunan projek-projek di jabatan ini dalam usaha untuk menyediakan keperluan infrastruktur kepada Angkatan Tentera Malaysia iaitu untuk memberi kemudahan  penyimpanan,  pengoperasian  dan penyenggaraan yang mana matlamat akhirnya ialah outcome dan output kerja serta ketersediaan perkhidmatan yang lebih cekap dan tepat dapat dihasilkan.

Projek ini telah dilaksanakan oleh Kontraktor Atlasinar Sdn. Bhd. secara Konvensional Dalaman dengan kos kontrak bernilai RM51,986,346.22. Projek ini telah disiapkan pada 30 Mac 2018.

Syabas dan tahniah diucapkan kepada pihak JKR Negeri Sembilan, JKR Daerah Port Dickson  dan pasukannya selaku Pasukan Penyeliaan Projek bagi projek ini kerana dapat menyiapkan projek dengan jayanya. Tidak lupa juga ucapan tahniah kepada pihak HOPT iaitu Bahagian Pengurusan Projek 2, Cawangan Kerja Keselamatan dan semua HODT Pakar yang terlibat dalam menjayakan projek ini bermula dari peringkat perancangan sehinggalah ianya dapat diserahkan.

Dengan kewujudan garaj yang baharu ini, diharapkan agar semua aset Angkatan Tentera Malaysia lebih terjaga dan ianya membuktikan pihak kerajaan sangat mengambil berat tentang keselamatan aset negara dengan menyediakan kemudahan yang lebih kondusif. Semoga projek ini juga dapat membantu pihak Angkatan Tentera Malaysia dalam memberikan perkhidmatan yang terbaik demi menjaga keamanan dan keselamatan negara.