Date: Selasa, Ogos 9, 2016

Pada 4 Ogos 2016 yang lepas, telah berlangsung Majlis Penyerahan Kunci beberapa buah Rumah Kekal Baharu (RKB) Mangsa di Jajahan Kuala Krai Kelantan, yang disempurnakan Oleh YBhg. Dato Ar. Prof. Dr. Amer Hamzah, Pengarah Kanan CKBA bersama Pasukan Banjir JKR Malaysia kepada mangsa banjir secara berperingkat.

Pihak Arkitek dan Pasukan Rekabentuk JKR Ibu Pejabat Kuala Lumpur telah merekabentuk dan membina Rumah Kekal sebagai penempatan yang selamat dalam jangka masa panjang. Ia adalah berkonsepkan rumah mampu milik, dan ianya bersifat kekal.

Jemaah Menteri pada 21 Januari 2015 meluluskan pembinaan rumah kekal kerangka konkrit dengan batu bata serta IBS diperkenalkan dengan tempoh pembinaan selama 75 hari dengan kos ialah RM 48,000 seunit tidak termasuk kos infra.

Rumah sebuah atas tanah yang berkeluasan  812  kaki persegi yang mengandungi ruang tamu, ruang makan, 3 bilik tidur, 1 dapur, 1 bilik air dan 1 bilik mandi.

Rumah sebuah bertiang yang berkeluasan 660 kaki persegi dan bertiang konkrit setinggi 8 kaki yang mengandungi ruang tamu, ruang makan, 3 bilik tidur, 1 dapur, 1 bilik air dan 1 bilik mandi.  Keluasan binaan rumah jenis ini boleh ditingkatkan kemudian sehingga 1300 kaki persegi sekiranya ditambah binaan di bawah rumah berkenaan.

Sehingga Ogos 2016, JKR telah dipertanggungjawabkan untuk membina sebanyak lebih kurang 1118 unit RKB sejak Januari 2015 di seluruh negeri yang terlibat dan hanya berbaki sebanyak lebih kurang 200 unit yang masih dalam pembinaan dan dijangka disiapkan selewatnya-lewatnya akhir bulan September 2016.