Date: Khamis, Oktober 18, 2018

Majlis penyerahan projek siap bagi PROJEK PEMBINAAN PADANG BOLA SEPAK TIRUAN (ARTIFICIAL TURF) telah diadakan pada 16 Oktober 2018 (Selasa) bertempat di Kompleks Sukan Labuan pada jam 9.00 pagi.

Penyerahan projek ini telah disempurnakan oleh YBhg. Datuk Seri Ir. Dr. Roslan Bin Md Taha, Ketua Pengarah Kerja Raya kepada YBhg. Dato’ Siti Fatimah Binti Daud, Setiausaha Bahagian Dasar Saraan dan Pengurusan, Kementerian Kewangan Malaysia selaku wakil Pelanggan dan seterusnya penyerahan kepada YBrs. Tuan Amir Hamzah Bin Awang Ghazali, Pengarah Bahagian Pengurusan dan Perkhidmatan Sokongan, Jabatan Belia dan Sukan Negara sebagai wakil pengguna (end user).

Dalam ucapan YBhg. Datuk Seri KPKR, beliau menyatakan bahawa Projek Padang Bola Sepak Tiruan di Labuan ini adalah merupakan salah satu daripada tiga (3) projek padang bola sepak tiruan yang telah diamanahkan oleh Kementerian Kewangan Malaysia kepada JKR untuk dilaksanakan. Dua (2) lagi projek adalah Pembinaan Padang Bola Sepak Tiruan di Kota Bharu, Kelantan yang telah siap dan diserahkan pada 10 April 2018, manakala pembinaan padang bola sepak di Pontian, Johor masih dalam peringkat pembinaan dan dijangka siap pada  31 Mac 2019. 

Skop utama bagi projek ini adalah seperti berikut:

  1. Pembinaan Padang Bola Sepak Tiruan (Artificial Turf) dengan luas kawasan keseluruhan 105 meter x 82 meter termasuk Sub-Soil Drainage System;
  2. Menyediakan peralatan padang dan aksesori seperti tiang gol dan tiang bendera;
  3. Membina pagar kawasan termasuk backstop fencing setinggi 6 meter;
  4. Menyediakan laluan pejalan kaki & turfing; dan
  5. Menyediakan tiang lampu, lampu limpah, meter kiosk dan lain-lain sistem elektrik yang berkaitan.

Projek ini berjaya diserah kepada pihak pelanggan secara 6 Dalam 1 iaitu :

  1. Sijil Perakuan Siap Kerja (CPC) telah diperakukan pada 15 Oktober 2018;
  2. Penyiapan Perakuan Muktamad Projek (SOFA);
  3. Penyiapan   As   Built   Drawing   dan   Operation  & Maintenance Manual;
  4. Projek Siap Awal sebanyak 78 Hari;
  5. Penjimatan sebanyak RM61,640.11; dan
  6. Persijilan FIFA Quality Pro (2 Star).

Pihak pelanggan amat berpuas hati dengan prestasi JKR selaku agensi pelaksana bagi projek tersebut. Padang bola sepak tiruan di Labuan telah dibina dengan menepati kualiti yang diiktiraf oleh Persekutuan Bola Sepak Sedunia, FIFA dengan mendapat Persijilan FIFA Kualiti Pro. JKR selaku agensi pelaksana Kerajaan memikul amanah rakyat demi memenuhi aspirasi Kerajaan dalam menghasilkan produk yang berkualiti dan mengikut kos dalam tempoh yang ditetapkan. Penyerahan projek ini merupakan kesinambungan pencapaian projek-projek yang dilaksanakan oleh JKR dalam usaha untuk menyediakan prasarana yang selesa, kondusif dan canggih seiring dengan keperluan rakyat.

SETINGGI-TINGGI TAHNIAH diucapkan kepada Cawangan Kerja Bangunan Am 1, HODT JKR Labuan dalam memastikan mutu rekabentuk dan pembinaan yang tinggi. Tahniah juga kepada Kontraktor Utama iaitu RS Greenmaster (M) Sdn. Bhd. yang turut menyumbang kepada kejayaan menyiapkan projek secara 6 Dalam 1 dan penyiapan lebih awal. Syabas!

JKR “PELANGGAN DIUTAMAKAN, JANJI DIKOTAKAN”
-Perkhidmatan Terbaik Untuk Rakyat-