Date: Khamis, September 28, 2017

Majlis Penyerahan Projek Pembinaan Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) di Kem Sri Miri telah berlangsung dengan jayanya pada hari Rabu, 20 September 2017 jam 9.00 pagi di tapak projek.

Majlis dimulakan dengan ucapan aluan oleh YBhg. Dato’ Ir. Hj. Salleh bin Awang, Pengarah Cawangan Kerja Keselamatan yang menzahirkan rasa bangga apabila JKR sebagai Agensi Pelaksana berjaya menyiapkan  blok Bangunan Perumahan Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) di Kem Sri Miri, Miri, Sarawak, yang terdiri daripada 139 unit pelbagai kelas. Projek ini dibawah Kementerian Pertahanan yang telah diumumkan oleh Perdana Menteri Malaysia dalam Rancangan Malaysia ke-10.

JKR telah dipertanggungjawabkan untuk melaksanakan projek ini sejak Februari 2015 secara Reka dan Bina dengan siling projek sebanyak RM 61.65 Juta. Kontraktor Utama yang dilantik adalah Golden Matrix Sdn. Bhd. telah berjaya menyiapkan projek dalam tempoh 18 bulan dengan lanjutan masa sebanyak dua kali.

Majlis diteruskan dengan ucapan penerimaan oleh wakil Kementerian Pertahanan, Pn. Asmarina binti Amran yang mana beliau telah menzahirkan penghargaan dan berpuas hati dengan komitmen dan kesungguhan JKR dalam melaksanakan dan menyiapkan projek dengan jayanya.

Seterusnya, sesi menandatangani dokumen penyerahan projek antara Pengarah Urusan Golden Matrix Sdn. Bhd. selaku Kontraktor Utama,  YBhg. Dato’ Ir. Hj. Salleh bin Awang, Pengarah Cawangan Kerja Keselamatan dan wakil Kementerian Pertahanan, disusuli penyerahan simbolik kunci kepada Pegawai Pemerintah Kem Sri Miri selaku pengguna bagi projek ini.  Para hadirin kemudiannya membuat lawatan ke rumah contoh sebelum bersurai pada jam 12.00 tengahari.

Tahniah diucapkan kepada Pasukan JKR, Perunding dan Kontraktor kerana telah berjaya menyiapkan projek ini dengan hasil kerja yang berkualiti dan memuaskan.