Date: Rabu, Januari 24, 2024

Majlis penyerahan pemilikan aset jalan kepada pelanggan bagi PROJEK PEMBINAAN JALAN PESISIR PANTAI DARI MEMBEDAI KE TANJUNG ARU, WILAYAH PERSEKUTUAN LABUAN telah dilaksanakan pada 22 Januari 2024 (Isnin) bertempat di Jalan Pesisir, Wilayah Persekutuan Labuan.

Penyerahan pemilikan aset jalan ini telah disempurnakan oleh YBhg. Dato’ Indera Noridah binti Abdul Rahim, Ketua Pengarah, Jabatan Wilayah Persekutuan kepada YBhg. Dato’ Zahrul Hakim bin Abdullah, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar & Pembangunan), Kementerian Kerja Raya Malaysia dan disaksikan oleh YB. Datuk Seri Ahmad bin Maslan, Timbalan Menteri Kerja Raya Malaysia, YBhg. Dato’ Ir. Hj Badioezaman bin Ab. Khalik, Timbalan Ketua Pengarah Kerja Raya (Sektor Bangunan), YBrs. Tn Hj. Jamaruslam bin Abdullah, Pengarah Pejabat Pembangunan Negeri Wilayah Persekutuan dan YBrs. Ir. Hj. Mohd Faizul bin Mohd Ali Hanapiah, Pengarah JKR W.P. Labuan.

Sesi penyerahan ini juga turut diserikan dengan kehadiran YBrs. Tn Simsudin bin Sidek, Timbalan Pengerusi, Perbadanan Labuan, YBrs. Tn Hj Rithuan bin Hj. Mohd Ismail, Ketua Pegawai Eksekutif, Perbadanan Labuan, pegawai-pegawai daripada Jabatan Wilayah Persekutuan, Kementerian Kerja Raya, Ibu Pejabat JKR Malaysia, JKR W.P. Labuan dan Pasukan Kontraktor.

Penyerahan Pemilikan Aset Jalan Pesisir Pantai ini melibatkan penyerahan jalan raya sepanjang 5.1 km iaitu Jalan Persisir Pantai dari Membedai ke Tanjung Aru, WP Labuan dari Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) selaku Pemilik Aset dan Pemilik Projek kepada Kementerian Kerja Raya (KKR) selaku Pengurus Aset.

Projek pembinaan jalan ini telah dilaksanakan secara reka dan bina bermula pada 19 November 2017 dan siap sepenuhnya pada 23 November 2021. Projek ini melibatkan skop kerja pembinaan jalan 2 lorong 2 hala sepanjang 4 km dan menaiktaraf jalan sedia ada sepanjang 1.1 km dengan piawaian jalan JKR R5. Selain itu ia turut melibatkan pembinaan 2 buah jambatan konkrit, 4 pembentungan, perabot jalan, pembinaan 5 buah persimpangan, ambil alih tanah dan pengalihan utiliti.

Kerja-kerja penyenggaraan selepas ini akan diuruskan oleh pihak konsesi yang telah dilantik oleh pihak Kementerian Kerja Raya dan diselia sepenuhnya oleh pihak JKR W.P. Labuan.

Setinggi-tinggi penghargaan diucapkan kepada Jabatan Wilayah Persekutuan, Kementerian Kerja Raya, Pasukan Projek JKR W.P. Labuan dalam menjayakan projek ini. SYABAS dan TAHNIAH diucapkan. Hastag #JKRLabuanLuarBiasa.