JKR "PELANGGAN DIUTAMAKAN, JANJI DIKOTAKAN"
-Perkhidmatan Terbaik Untuk Rakyat-
Satu Majlis Penyerahan Projek Siap Perumahan Kastam Sepanggar, Sabah yang mengandungi 120 unit kuarters pelbagai kelas telah berlangsung dengan jayanya pada Isnin, 9 Januari 2017 jam 2.00 petang di tapak projek, yang disaksikan oleh YB Dato’ Othman Bin Aziz, Timbalan Menteri Kewangan 1.
Majlis dimulakan dengan ucapan aluan dari YBhg Dato’ Hj. Mohd Ali Muddin Bin Kartide, Pengarah Urusan Aliff Corporation Sdn Bhd yang merupakan Kontraktor Utama bagi projek ini, diikuti dengan ucapan penghargaan oleh YBhg. Ar. Dato’ Sri Amer Hamzah Bin Yunus, Timbalan Ketua Pengarah Kerja Raya (Sektor Bangunan).
Majlis diteruskan dengan ucapan oleh YBhg. Dato’ Sri Khazali Bin Hj. Ahmad, Ketua Pengarah Kastam Malaysia. Di dalam ucapannya, beliau begitu berpuas hati dengan kualiti pembinaan yang kemas dan tiada kecacatan. Beliau juga menyatakan harapan Jabatan Kastam agar semua projek yang diselia oleh pihak JKR mencapai kualiti pembinaan yang baik dan berjaya disiapkan dalam tempoh kontrak. Seterusnya, YB Timbalan Menteri Kewangan 1 menyampaikan harapan beliau agar dengan siapnya projek ini, Jabatan Kastam DiRaja Malaysia Negeri Sabah akan lebih efisien dalam menjalankan tugas dan seterusnya dapat meningkatkan sumber pendapatan negara.
Majlis mencapai kemuncaknya dengan upacara menandatangani Dokumen Penyerahan Projek oleh YBhg. TKPKR (Sektor Bangunan) dan YBhg. Ketua Pengarah Kastam Malaysia, disaksikan oleh YB Timbalan Menteri Kewangan 1. Ia diteruskan dengan penyerahan simbolik kunci oleh Kontraktor kepada pihak JKR dan seterusnya kepada Jabatan Kastam DiRaja Malaysia. Para hadirin kemudiannya membuat lawatan ke unit rumah contoh dan tinjauan di sekitar tapak projek sebelum bersurai pada jam 4.30 petang.
JKR Malaysia telah dipertanggungjawabkan untuk melaksanakan projek ini pada tahun 2013 secara konvensional perunding dengan kos projek sebanyak RM 63,945,740.00. Komponen utama projek terdiri daripada 20 unit kuarters kelas E, 40 unit kuarters kelas F, 60 unit kuarters kelas G dan lain-lain kemudahan asas. Pembinaan projek ini dibuat mengikut kaedah IBS dan telah berjaya mencapai skor IBS sebanyak 73.84%, melebihi tahap yang ditetapkan 70%. Projek ini juga telah dengan jayanya disiapkan lengkap secara 3 dalam 1, iaitu penyerahan serentak Perakuan Siap Kerja (CPC), Perakuan Akaun Akhir (SOFA) dan Lukisan Siap Bina (As-Built Drawing).
Syabas dan tahniah diucapkan kepada Pasukan Projek JKR, Kontraktor Aliff Corporation Sdn Bhd dan syarikat-syarikat perunding kerana telah berjaya menyiapkan projek ini pada tarikh siap semasa dengan hasil kerja berkualiti.
- 1283 bacaan