Majlis penyerahan projek siap bagi Cadangan Membina Terminal Pengangkutan Awam Bersepadu Negeri Perlis telah diadakan pada 26hb April 2024 (Jumaat) bertempat di Terminal Awam Bersepadu Negeri Perlis yang berlangsung pada jam 9.30 pagi. Majlis telah disempurnakan oleh YBhg. Encik Rusdi bin Yahaya selaku Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis, YBhg. Ir. Mohd Shahril bin Mohd Said selaku Pegawai Penguasa dan YBhg. Encik Fazlullah bin Abdul Azizi wakil daripada Northern Corridor Economic Region (NCER) selaku pihak pelanggan.
Majlis penyerahan turut dihadiri oleh YBhg. Dato' Ir. Roslan bin Ismail, Pengarah Kanan Cawangan Perancangan Aset Bersepadu (CPAB), YBhg. Ir. Mohd Mukhlis Jaya bin Abdullah, Jurutera Awam Penguasa Kanan Cawangan Kejuruteraan Infrastruktur Pengangkutan (CKIP) dan lain-lain ketua jabatan serta pasukan JKR Negeri Perlis.
Projek ini telah disiapkan pada 3hb April 2024 yang dilaksanakan oleh syarikat Uzaimin Enterprise (Alor Setar) Sdn. Bhd.. Skop kerja projek ini adalah melibatkan kerja – kerja membina bangunan terminal yang mengandungi ruang bas (ketibaan/ pelepasan), parkir awam dan teksi, ruang pelepasan dan ketibaan penumpang, kiosk dan ruang makan, blok mekanikal, blok Tenaga Nasional Berhad (TNB), kolam on site detention (OSD), rumah sampah dan lain-lain kerja berkaitan.
Syabas dan tahniah diucapkan kepada semua pihak yang terlibat sama ada secara langsung atau tidak langsung dalam menjayakan pelaksanaan projek ini. Setinggi-tinggi penghargaan diucapkan kepada YBhg. Ir. Mohd Shahril bin Mohd Said sebagai Pegawai Penguasa dari JKR Negeri Perlis, Pasukan projek dari Head of Project Team (HOPT) dan Head of Design Team (HODT) serta kontraktor utama yang telah memberikan sepenuh kerjasama dan komitmen yang tidak berbelah bahagi dalam menjayakan projek ini. Terima kasih juga kepada pihak pelanggan yang telah memberikan kerjasama yang baik sepanjang tempoh pelaksanaan projek ini.
Semoga dengan penyiapan projek ini menjadi mercu tanda baharu Negeri Perlis dan menjadi katalis pembangunan di kawasan sekitarnya.
- 1223 bacaan