Date: Jumaat, November 27, 2020

PROJEK: KERJA-KERJA PENGGANTIAN LAMPU KEPADA JENIS LED DI KOMPLEKS IBU PEJABAT JABATAN KERJA RAYA MALAYSIA

MAJLIS PENYERAHAN PROJEK

 

Pada 26 November 2020 telah berlangsungnya majlis penyerahan projek bagi Kerja-Kerja Penggantian Lampu Kepada Jenis LED di Kompleks Ibu Pejabat Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia. Majlis penyerahan tersebut telah diadakan di Bilik Mesyuarat Delima 5, Aras 1 Menara Kerja Raya (Blok G), Ibu Pejabat JKR Malaysia Kuala Lumpur.

Penyerahan projek ini telah disempurnakan oleh YBrs. Ir. Zuraidah Binti Muhamad, Jurutera Elektrik Penguasa Kanan, Bahagian Penyelarasan & Khidmat Sokongan yang menjalankan tugas Pengarah Perkhidmatan Pakar Cawangan Kejuruteraan Elektrik (CKE) selaku pegawai penguasa projek kepada YBrs. Ir. Masri Bin Baharuddin, Pengarah Cawangan Dasar & Pengurusan Korporat (CDPK) mewakili pihak pelanggan. Majlis juga turut dihadiri oleh YBrs. Puan Farah Binti  Abdul Samad, Pengarah Cawangan Alam Sekitar & Kecekapan Tenaga (CASKT) selaku pengurus program, YBrs. Ir. Rudy Bin Amir, Jurutera Elektrik Penguasa Kanan, Unit Perunding Kecekapan Tenaga Elektrik, CKE selaku pelaksana program dan Ir. Nurzarina Binti Abu Bakar, Jurutera Elektrik Kanan, Cawangan Senggara Fasiliti Bangunan (CSFB) mewakili pengurusan fasiliti Kompleks Ibu Pejabat JKR Malaysia.

Pelaksanaan projek ini merupakan salah satu aktiviti pengurusan tenaga di dalam Pelan Induk Pengurusan Tenaga (PIPT) bagi Kompleks Ibu Pejabat JKR Malaysia iaitu menggantikan lampu sedia ada (retrofitting) kepada yang lebih cekap tenaga melibatkan bangunan-bangunan Ibu Pejabat JKR Malaysia merangkumi blok A, B, C, D, E & F. Objektif pelaksanaan aktiviti ini adalah untuk meningkatkan kecekapan penggunaan tenaga secara berterusan dalam operasi dan penyenggaraan bangunan Kompleks Ibu Pejabat JKR Malaysia. Perolehan projek ini telah dibuat secara sebut harga dan kontraktor yang bertanggungjawab melaksanakan projek ini adalah Capaian Prestij Sdn. Bhd.

Hasil pelaksanaan projek ini, penjimatan penggunaan tenaga daripada sistem pencahayaan dianggarkan sebanyak 285,136 kWj/tahun sekaligus menyumbang 10% penjimatan kepada keseluruhan kos tahunan bagi Kompleks Ibu Pejabat JKR iaitu sebanyak RM 107,347.00 dengan payback period selama 4 tahun. Selain penjimatan penggunaan tenaga, anggaran pelepasan karbon sebanyak 197,844 kgCO2/tahun juga dapat dikurangkan. Building Energy Intensity Kompleks Ibu Pejabat JKR dijangka turut berlaku penurunan selepas pelaksanaan projek ini dengan bacaan 85 kWj/m2/tahun berbanding tahun semasa yang merekodkan bacaan BEI sebanyak 95 kWj/m2/tahun.

Skop kerja bagi projek ini ialah membuka dan melupus lampu sedia ada mengikut akta 672 (pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam), membekal dan memasang lampu LED serta menjalankan pengujian dan pentauliahan terhadap lampu-lampu yang telah dibuat penggantian. Tarikh milik tapak bagi projek ini adalah pada 27 Julai 2020 manakala tarikh siap kerja adalah pada 16 November 2020. Walaubagaimanapun, kontraktor telah berjaya menyiapkan kerja-kerja tersebut seminggu lebih awal daripada tarikh siap kerja dan Perakuan Siap Kerja telah dikeluarkan kepada pihak kontraktor pada 9 November 2020. Setinggi-tinggi tahniah diucapkan kepada kontraktor dan semua pihak yang terlibat dalam memastikan projek ini dapat disiapkan dengan jayanya.