Date: Jumaat, Mei 4, 2018

Majlis penyerahan Bangunan Ibu Pejabat Penjara Malaysia Kajang, Selangor Darul Ehsan telah diadakan pada 3hb Mei 2018 (Khamis) di Auditorium Ibu Pejabat Penjara Malaysia Kajang, Selangor Darul Ehsan pada jam 2.30 petang.

Penyerahan projek ini telah disempurnakan oleh YBhg. Datuk Ir. Ruslan Bin Abdul Aziz, Pengarah JKR Negeri Selangor selaku Pengarah Projek kepada YBhg. Dato’ Seri Alwi Bin Hj. Ibrahim, Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, selaku wakil Pelanggan dan seterusnya kepada YBhg. Komisioner Jeneral Penjara Dato’ Sri Hj. Zulkifli Bin Omar, Ketua Pengarah Jabatan Penjara Malaysia, selaku pengguna projek ini.

Majlis turut disaksikan oleh tetamu kehormat iaitu YBhg. Dato’ Sri Ir. Dr. Roslan Bin Md Taha, Ketua Pengarah Kerja Raya Malaysia, dan juga beberapa tetamu kehormat yang lain. Turut menyerikan majlis ini adalah Yang Berusaha Tuan Ir. Haji Mohamad Zulkefli Bin Sulaiman, Pengarah Kanan Cawangan Kejuruteraan Awam dan Struktur, Yang Berusaha Tuan Ir. Hj Hanan Bin Elias, Pengarah Cawangan Kerja Keselamatan, wakil Kementerian Dalam Negeri, Pegawai – pegawai Kanan Jabatan Penjara Malaysia, Pegawai – pegawai Jabatan Kerja Raya serta pihak Kontraktor.

Penyerahan Projek ini merupakan satu lagi kesinambungan pencapaian pembangunan projek-projek di jabatan ini dalam usaha untuk menyediakan keperluan ruang pejabat kepada warga Jabatan Penjara Malaysia iaitu untuk memberi kemudahan dan keselesaan yang mana matlamat akhirnya ialah outcome dan output kerja serta perkhidmatan yang lebih berkualiti dan inovatif dapat dihasilkan.

Projek ini telah dilaksanakan oleh Kontraktor Pembinaan Sujaman Sdn. Bhd. secara Reka dan Bina dengan kos kontrak bernilai RM60,858,524.30 dan penjimatan kos sebanyak RM1,554,275.70. Projek ini telah menggunapakai sistem Industrialised Building System (IBS) dan berkonsepkan Neoclassical dan pintu masuk menara utama projek ini mengambil inspirasi dari pintu gerbang Penjara Pudu. Projek ini telah disiapkan pada 16 April 2018 iaitu 10 hari awal dari tarikh lanjutan masa yang telah diluluskan iaitu sehingga 26 April 2018. Untuk rekod,  projek ini  bukan sahaja telah mencapai KPI yang telah ditetapkan iaitu penyerahan  projek secara 3 dalam 1 malah telah melebihi KPI tersebut iaitu penyerahan projek secara 9 dalam 1 yang merangkumi skop berikut :

  1. Certificate Practical Completion (CPC).
  2. Pengeluaran Statement of Final Account (SOFA).
  3. As- Built Drawing.
  4. Penjimatan Kos Kontrak sebanyak RM 1,554,275.70.
  5. Serahan awal (10 hari awal).
  6. Penyerahan Operation & Manual (O&M).
  7. Pengeluaran Certificate Of Completion And Compliance (CCC).
  8. Pensijilan Qlassic.
  9. Penyediaan Coffee Table Book.

Syabas dan tahniah diucapkan kepada pihak JKR Selangor dan pasukannya selaku Pasukan Penyeliaan Projek bagi projek ini kerana dapat menyiapkan projek dengan jayanya. Tidak lupa juga ucapan tahniah kepada pihak HOPT iaitu Pasukan Pengurusan Projek 1, Cawangan Kerja Keselamatan dan semua HODT Pakar yang terlibat dalam menjayakan projek ini bermula dari peringkat perancangan sehinggalah ianya dapat diserahkan. Dengan kewujudan bangunan ibu pejabat yang baharu ini, diharapakan agar semua pegawai Jabatan Penjara Malaysia lebih bersemangat untuk bekerja dan ianya membuktikan pihak kerajaan sangat mengambil berat tentang kebajikan semua dengan menyediakan kemudahan yang lebih selesa dan kondusif. Semoga projek ini juga dapat membantu pihak Jabatan Penjara Malaysia dalam memberikan perkhidmatan yang terbaik dan memberi manfaat kepada semua.