Date: Isnin, Julai 24, 2023

Majlis penyerahan projek siap kepada pelanggan bagi PROJEK CADANGAN MEMBINA DAN MENYIAPKAN BAKI KERJA KOMPLEKS ISLAM KUALA LANGAT, DI DALAM DAERAH KUALA LANGAT, SELANGOR DARUL EHSAN telah berlangsung pada 20 Julai 2023 (Khamis) bertempat di Dewan Serbaguna, Kompleks Islam Daerah Kuala Langat, Selangor Darul Ehsan.

Penyerahan projek ini telah disempurnakan oleh YBrs. Ir. Mohd Zawawi Bin Zakaria, Timbalan Pengarah, Jabatan Kerja Raya Selangor mewakili Pengarah, Jabatan Kerja Raya Selangor kepada YBrs, Puan Salwana Binti Ahmad Dahlan,Timbalan Pengarah (Operasi), Jabatan Agama Islam Selangor dan disaksikan oleh Y.D.M Tengku Dato’ Mohamed Al Haj Bin Tengku Harun, Orang Besar Daerah Kuala Langat.

Sesi penyerahan ini juga turut diserikan dengan kehadiran YBrs. Ir. Hanif Bin Latif, Jurutera Daerah JKR Kuala Langat, YBrs. Al Fathil Ustaz Hairul Anuar Bin Samingan, Pegawai Tadbir Agama Daerah Kuala Langat, Pegawai-Pegawai daripada JKR Selangor & Jabatan Agama Islam Selangor, Pasukan Pejabat Selia Tapak (JKR Kuala Langat), Pasukan Kontraktor dan NSC serta warga kerja  Pejabat Agama Islam Daerah Kuala Langat.

Kaedah perlaksanaan projek ini adalah secara Konvensional Perunding di mana, semua perancangan dan rekabentuk dibuat secara dalaman (in-house) oleh Pasukan Projek JKR Selangor, manakala rekabentuk struktur oleh Perunding Sivil (Dr. Fikri & Associates Sdn Bhd). Pembinaan ini, dilaksanakan oleh kontraktor kelas G7, (Abadi Ria Sdn Bhd) yang dilantik melalui proses tender terbuka selepas kontraktor asal ditamatkan kontrak.

Pembangunan ini hanya melibatkan kawasan seluas 28,315.31 meter persegi  (7 ekar) daripada keluasan keseluruhan lot tanah milik JAIS seluas 12 ekar. Pembinaan projek ini terbahagi kepada dua (2) fasa.

Fasa Pertama melibatkan kerja – kerja penambakan dan pengukuhan tanah bagi kawasan/tapak pembinaan Kompleks Islam dengan kos kontrak bernilai RM8.4 juta yang telah siap pada 24 Februari 2015.  Kerja pengukuhan tanah yang dijalankan adalah menggunakan Method of Prefabricated Vertical Drains (PVD).

Fasa Kedua pula melibatkan skop Kerja Pembinaan Bangunan Kompleks Islam baharu, Dewan Serbaguna dan bangunan sokongan dengan kos kontrak semasa berjumlah RM20.69 juta yang telah BERJAYA disiapkan pada 17 Mei 2023. Skop kontrak bagi projek ini melibatkan kerja-kerja awalan, kerja-kerja cerucuk dan kerja-kerja membina Satu (1) Blok Bangunan Pentadbiran (4 tingkat) dengan jumlah keluasan lantai 4,728.50 meter persegi, Dewan Serbaguna untuk kapasiti 250 orang, Mechanical dan Electrical (M&E) Plant Room dan Blok Sokongan lain termasuklah tempat meletak kenderaan awam.

Sekali lagi diucapkan SYABAS dan TAHNIAH kepada Pasukan Projek JKR Selangor,Pasukan Pejabat Selia Tapak (JKR Kuala Langat), Kontraktor (Abadi Ria Sdn Bhd), Semua NSC dan Perunding kerana telah berjaya menyiapkan projek ini. Tidak dilupakan ucapan jutaan terima kasih kepada Jabatan Agama Islam Selangor  selaku pelanggan utama dan pihak end user iaitu Pejabat Agama Daerah Kuala Langat yang telah memberi kepercayaan kepada Jabatan Kerja Raya Selangor untuk menyiapkan Kompleks  Islam Daerah Kuala Langat.