Date: Rabu, September 21, 2016

Satu Majlis Penyerahan Projek Membina Parkway Drop Zone di Stesen komuter Kg Dato’ Harun, Petaling Jaya, Selangor telah berlangsung dengan jayanya di bangunan baru Stesen Komuter Kg Dato’ Harun pada 20 September 2016. Penyerahan bangunan yang siap disempurnakan oleh Ir Mohamed Amin Bin Kasim, Ketua Penolong Pengarah Kanan, CKIP, JKR, kepada wakil pelanggan, Pn Norizam Binti Abdul Kadir, Perbadanan Aset Keretapi (RAC).

Projek ini merupakan projek di bawah National Key Result Area (NKRA) yang mana ia juga merupakan Key Performance Index (KPI) bersama Menteri Pengangkutan Malaysia  dan Menteri Kerja Raya Malaysia. RAC adalah sebuah badan berkanun di bawah Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) dan telah melantik JKR sebagai Agensi Pelaksana bagi projek ini. Projek ini juga merupakan projek sulung RAC yang dilaksanakan oleh JKR. Penglibatan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) sebagai operator yang dilesenkan oleh Suruhanjaya Perhidmatan Awam Darat (SPAD) telah memberikan kerjasama baik dalam menjayakan projek tersebut.


Projek ini bermula pembinaannya pada April 2015 dan telah disiapkan dengan sempurnanya pada bulan September 2016. Objektif pelaksanaan projek ini adalah untuk menaiktaraf kemudahan di Stesen Komuter Kg Dato’ Harun yang menguruskan penumpang seramai 800 orang pengguna sehari untuk keselesaan dan keselamatan pengguna keretapi. Pembangunan ini juga meliputi penyediaan ruang yang selesa di kawasan ruang menunggu (lobi), kemudahan drop by zone untuk teksi, bas dan kenderaan persendirian termasuk membaikpulih bangunan stesen sedia ada dalam memberi imej yang baik terhadap perkhidmatan pengangkutan awam khususnya keretapi.