Date: Selasa, November 19, 2019

Majlis Penyerahan Projek Cadangan Membina Tempat Letak Kereta Bertingkat (Park & Ride) Dan Menaik Taraf Bangunan Stesen Komuter Klang Sedia Ada Serta Menaik Taraf Prasarana Di Jalan Raya Timur Di Bandar Klang, Selangor Darul Ehsan telah berlangsung dengan jayanya pada 18 November 2019, Isnin, bertempat di Bangunan Tempat Letak Kereta Bertingkat Park & Ride Klang.

Penyerahan projek telah disempurnakan oleh Pengarah Cawangan Kejuruteraan Infrastruktur Pengangkutan, YBrs. Ir. Mohamed Amin bin Kasim, yang juga merupakan Pegawai Penguasa Projek serta tetamu khas Pengurus Besar Perbadanan Aset Keretapi (RAC) iaitu Encik Azhar bin Ahmad. Sesi menandatangani sijil penyerahan projek di antara Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Perbadanan Aset Keretapi (RAC) juga berjalan lancar.

Majlis tersebut turut dihadiri oleh pasukan-pasukan dari Head of Project Team (HOPT), Head of Design Team (HODT) serta tidak terkecuali dari pihak Wakil Pegawai Penguasa (Utama & Pakar). Turut hadir memeriahkan majlis adalah dari pihak Kementerian Pengangkutan (MOT), Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), Majlis Perbandaran Klang (MPK) juga kontraktor utama serta pihak Nominated Sub-Contractor (NSC).

Projek ini telah berjaya diserah kepada pihak pelanggan secara ‘5 dalam 1’ iaitu lengkap dengan dokumen berikut:

  1. Perakuan Siap Kerja (CPC)
  2. Lukisan Terbina (As-Built Drawings)
  3. Penyata Akaun Muktamad (SOFA)
  4. Manual Operasi & Senggaraan (O&M) dan ;
  5. Sijil Jaminan Hasil Kerja serta Produk (Warranty Certificate)

Selain itu, projek ini juga telah mencapai beberapa kejayaan lain iaitu berjaya mendapat Skor Industrialised Building System (IBS) melebihi 70%, memenangi anugerah Rekabentuk HODT terbaik pada tahun 2016, anugerah Safety and Health Assessment System in Construction (SHASSIC) dengan penarafan 5 bintang pada tahun 2018.

Skop pembinaan bagi projek ini melibatkan perkara-perkara seperti berikut:

  1. Membina 592 tempat letak kereta bertingkat termasuk 9 petak OKU.
  2. Menyediakan tempat letak motorsikal berbumbung sebanyak 68 unit.
  3. Membina Bangunan Kiosk terdiri dari surau dan tandas serta tempat menunggu dan menurunkan penumpang untuk kegunaan kenderaan awam, teksi dan bas (Drop of zone)
  4. Membina Laluan Pejalan Kaki Berbumbung menghubungkan bangunan Park & Ride Klang ke Stesen Komuter Klang
  5. Menaiktaraf Prasarana Jalan Raya Timur berhadapan tapak projek Park & Ride Klang

Setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang terlibat khasnya RAC dan pihak kontraktor serta semua pihak yang lain dalam memberikan kerjasama dan komitmen yang tidak berbelah bahagi dalam melaksanakan projek ini.