Date: Selasa, Mei 7, 2024

Majlis penyerahan projek siap kepada pihak pelanggan bagi pelaksanaan Cadangan Pemasangan Sistem Solar di Bangunan dan Fasilti di Bawah Seliaan Bahagian Pengurusan Hartanah, Jabatan Perdana Menteri di telah diadakan pada 25 April 2024 (Khamis) bertempat di Dewan Terbuka, Rumah Penginapan Persekutuan (RPP) Morib pada jam 8.00 petang. Projek telah berjaya disiapkan 10 hari lebih awal dari Tarikh Siap Asal yang ditetapkan.

Dengan usaha dan komitmen yang tinggi oleh semua pihak yang terlibat, Projek ini turut berjaya disiapkan secara 6 dalam 1 iaitu:

  1. Sijil Perakuan Siap Kerja (Certificate of Practical Completion-CPC);
  2. Lukisan Siap Bina (As-Built Drawing);
  3. Penyiapan Penyata Akaun Muktamad (Statement Of Final Account-SOFA);
  4. Penjimatan kos kontrak (2.4% penjimatan berbanding siling peruntukan);
  5. Pendaftaran Aset Tak Alih Kerajaan; dan
  6. Penjilidan Dokumen Penyerahan serta Operation & Manual (O&M)

Penyerahan projek ini telah disempurnakan oleh YBrs. Ir. Hanizan binti Shaffii, Pengarah Kanan, Cawangan Kejuruteraan Elektrik (CKE), Ibu Pejabat JKR Malaysia kepada YBrs. En. Mohd Iqbal bin Mohd Noor, Setiausaha Bahagian, Bahagian Pengurusan Hartanah, Jabatan Perdana Menteri bagi pihak Kementerian Pelanggan. Majlis penyerahan ini turut disaksikan oleh YBrs. Ir. Noor Ashikin bt Md. Tamimi, Pengarah Perkhidmatan Pakar, CKE, YBrs. En. Mohd Shahrul Nizam Bin Mohd Salleh Timbalan Setiausaha Bahagian I (Kuarters), Bahagian Pengurusan Hartanah, Jabatan Perdana Menteri, YBrs. En. Sharulfaizal bin Tahar, Timbalan Setiausaha Bahagian II (Pembangunan), Bahagian Pengurusan Hartanah, Jabatan Perdana Menteri, YBrs. Encik Ahmad Zaki Farid bin Yahaya, Pengarah Syarikat Wazlina Sdn. Bhd., pegawai-pegawai daripada Bahagian Pengurusan Hartanah, Jabatan Perdana Menteri, pegawai-pegawai daripada HOPT dan HODT serta kakitangan pengurusan RPP Morib.

Kaedah pelaksanaan projek ini adalah secara Konvensional Dalaman oleh Cawangan Kejuruteraan Elektrik (CKE) selaku Pengurus Program dan Unit Perunding Tenaga Lestari, CKE adalah selaku HOPT dan Pasukan Rekabentuk HODT projek ini. Projek secara perolehan sebutharga ini telah dilaksanakan oleh kontraktor yang terpilih iaitu Wazlina Sdn Bhd bermula pada 29 September 2023 dan telah berjaya disiapkan pada 1 April 2024 (10 hari awal dari tarikh penyiapan asal).  

Skop utama projek ini adalah melibatkan kerja-kerja Pemasangan Sistem Fotovolta Tersambung Grid berkapasiti 95.8kW sebagai inisiatif penjimatan bil elektrik di samping lebihan tenaga elektrik yang dihasilkan boleh dieksport ke talian grid Tenaga Nasional Berhad menerusi skim Pemeteran Tenaga Bersih atau dikenali sebagai Net Energy Metering (NEM). Skop kerja adalah merangkumi kerja-kerja seperti berikut:

  • Membina dan memasang struktur solar jenis terbuka (multipurpose) yang boleh digunakan untuk melaksanakan aktiviti di RPP Morib.
  • Membina dan memasang struktur solar jenis parkir berbumbung di Rumah Penginapan Persekutuan Pulau Pangkor.
  • Membekal, memasang dan konfigurasi komponen sistem solar (Solar PV module dan inverter).
  • Sistem Elektrik dan Kabel Pembahagian.

Objektif utama projek ini adalah bagi menyediakan sistem solar photovoltaic (PV) tersambung grid bagi inisiatif penjimatan bil elektrik.Mewujudkan persekitaran yang kondusif dan selesa kepada pengunjung-pengunjung di RPP. Bagi inisiatif ini, Rumah Peranginan Persekutuan Morib memperoleh manfaat melalui penjanaan tenaga daripada sistem solar sebanyak 38.86 MWh/year, penjimatan bil elektrik sebanyak 37.8% daripada bil elektrik bulanan semasa dan pengurangan pelepasan karbon dioksida sebanyak 29,456 kg CO2/year. Manakala Rumah Peranginan Persekutuan Pulau Pangkor pula, jumlah tenaga yang dijanakan daripada sistem solar sebanyak 65.02 MWh/year, penjimatan bil elektrik 21.1% daripada bil elektrik bulanan semasa dan pengurangan pelepasan karbon dioksida sebanyak 49,283 kg CO2/year. Ini secara tidak langsung dapat menyokong kepada inisiatif  Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga negara bagi peralihan sektor tenaga ke arah mencapai sasaran pelepasan Gas Rumah Hijau (GHG) sifar bersih seawal-awalnya pada tahun 2050.

Projek bercirikan Teknologi Hijau ini juga adalah merupakan satu usaha dalam menyokong Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga (NETR) bagi memastikan kelestarian alam sekitar terpelihara seiring dengan arus pembangunan negara. Semasa memberikan ucapan, Pengarah Kanan, CKE menzahirkan ucapan syabas dan tahniah kepada keseluruhan Pasukan Projek yang menjadi peneraju utama serta berjaya mengurus, memantau dan menyelia pelaksanaan projek ini sehingga projek dapat disiapkan lebih awal daripada yang ditetapkan. Beliau turut merakamkan  ucapan tahniah kepada Wazlina Sdn Bhd kerana telah berjaya menyiapkan projek ini dengan penuh dedikasi dan berkomited sejak dari mula pembinaan sehingga ke tarikh penyerahan pada hari ini.

Syabas & Tahniah kepada semua pihak serta agensi yang terlibat secara langsung dan tidak langsung bagi menjayakan penyiapan projek ini.

“Fasiliti Lestari : Inisiatif Masa Kini untuk Manfaat Masa Hadapan”