Date: Khamis, Januari 26, 2023

Majlis penyerahan Projek Hospital Pendang, Kedah kepada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia telah diadakan pada 12 Januari 2023 bertempat di Ruang Lobi, Hospital Pendang, Kedah.

Majlis ini telah disempurnakan dengan penyerahan replika kunci oleh Pegawai Penguasa Projek iaitu YBrs. Ir. Mohd Fisal Bin Ismail, Pengarah JKR Negeri Kedah kepada Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan Malaysia.

Duli Yang Amat Mulia Tunku Shazuddin Ariff Ibni Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin, Tengku Mahkota Kedah turut berangkat mencemar duli bagi menyerikan majlis penyerahan ini dengan disertai Dif-dif Kehormat iaitu Menteri Kerja Raya, YB Dato’ Sri Alexander Nanta Linggi, Menteri Kesihatan Malaysia, YB Dr. Zaliha Binti Mustafa, Ketua Setiausaha Kerja Raya, YBhg. Dato’ Wira Wan Ahmad Uzir Bin Hj Wan Sulaiman, Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan, YBhg. Datuk Harjeet Singh, Ketua Pengarah Jabatan Kesihatan, YBhg. Tan Sri Dato Seri Dr. Haji Noor Hisham Bin Abdullah, Ketua Pengarah Kerja Raya, YBhg. Dato' Ir. Ahmad Redza Ghulam Rasool serta pengurusan tertinggi KKR, KKM, Jabatan Kesihatan Malaysia dan Jabatan Kerja Raya.

Ini merupakan detik yang bersejarah kerana Projek Pembinaan Hospital Pendang, Kedah ini bakal menjadi Hospital Pakar Minor baharu dan dilengkapi dengan kemudahan bangunan hospital dengan 126 katil, blok klinikal dan sokongan, serta 4 dewan bedah.

Hospital Pendang ini juga menawarkan 10 bidang kepakaran, termasuk Kecemasan, Perubatan Am, Pembedahanan Am, Obstetrik dan Ginekologi, Paediatrik, Orthopedik, Anestesiologi, Radiologi, Patologi dan Psikiatri.

Hospital yang berkapasiti 126 katil ini dijangka akan memanfaatkan kira-kira 110,000 penduduk di Daerah Pendang, Kedah. Ianya akan memangkin kecemerlangan perkhidmatan kesihatan yang disediakan oleh KKM untuk memenuhi keperluan dan kehendak rakyat serta mencapai sasaran yang ditetapkan oleh Kerajaan bagi menyediakan perkhidmatan kesihatan yang berkualiti.

Untuk makluman, projek ini juga telah berjaya siap dan serah secara 3 dalam 1 yang merangkumi kriteria berikut:

  1. Sijil Siap Kerja (CPC) disediakan awal sebelum tamat tempoh projek;
  2. Lukisan Siap Bina (As Built Drawing) disediakan berserta dengan CPC;
  3. Penyata Akaun Muktamad (SOFA) disediakan sebelum tempoh 6 bulan di mana penjimatan kos projek melebihi 10 juta daripada kos asal kontrak;

Projek ini juga telah menempa beberapa kejayaan lain, antaranya:

  1. Penilaian Kepuasan Pelanggan melebihi 90%;
  2. Penilaian Quality Assessment System in Construction (QLassic) mendapat 78% melebihi yang ditetapkan di dalam kontrak 70%;
  3. Sistem Penilaian Keselamatan dan Kesihatan Dalam Pembinaan (SHASSIC) CIDB mendapat 5 bintang;
  4. Audit Keselamatan dan Kesihatan Tapak Bina melebihi 95%

Tahniah dan syabas kepada semua yang terlibat dalam pelaksanaan projek ini yang telah memainkan peranan penting kepada kejayaan projek. Penat lelah yang telah dirasai dan diharungi bersama demi menyiapkan projek Hospital Pendang ini bagaikan “terapung sama hanyut, terendam sama basah, terampai sama kering”.