Date: Khamis, Januari 11, 2018

Majlis Penyerahan Projek Kerja-Kerja Pembaikan Jangka Panjang Untuk Sebelas (11) Unit Lif Dengan Kaedah Modernization di Kompleks Kementerian Kerja Raya telah diadakan dengan jayanya pada hari Khamis, 11 Januari 2018 bertempat di Bilik Tanjung, Kompleks Kerja Raya.

Sesi menandatangani sijil penyerahan projek di antara Cawangan Kejuruteraan Mekanikal (CKM), Jabatan Kerja Raya dan Bahagian Pengurusan Fasiliti (BPF), Kementerian Kerja Raya telah disempurnakan oleh YBrs. Cik Noor’Ain Binti Zainal Abidin yang mewakili CKM dan YBrs. En. Zahrul Hakim Bin Abdullah yang mewakili BPF.

Majlis tersebut turut disaksikan oleh YBhg. Dato’ Sri Zohari Bin Haji Akob, Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya, YBhg. Dato’ Sri Ir. Dr. Roslan Bin Md Taha, Ketua Pengarah Kerja Raya, YBrs. Ir. Kamaluddin bin Haji Abdul Rashid, Timbalan Ketua Pengarah Kerja Raya (Sektor Bangunan), YBrs. Ir. Gopal Narian Kutty, Pengarah Kanan, Cawangan Kejuruteraan Mekanikal, YBrs. Ir. Razdwan Bin Kasim, Pengarah Khidmat Pakar, Cawangan Kejuruteraan Mekanikal, YBrs. Ir. Mamat Rohizan bin Abdullah, Pengarah Rekabentuk, Cawangan Kejuruteraan Mekanikal, YBrs. Ir. Azizul Bin Arifin, Pengarah Cawangan Senggara Fasiliti Bangunan serta Pengarah Urusan KCJ Engineering Sdn. Bhd.

Projek ini telah berjaya diserah kepada pihak pelanggan secara ‘3 dalam 1’ iaitu lengkap dengan dokumen Perakuan Siap Kerja (CPC), Lukisan Terbina dan Manual Operasi & Senggaraan (O&M) serta Penyata Akaun Muktamad (SoFA).

Skop projek melibatkan kerja-kerja modernization sebelas (11) unit lif, iaitu empat (4) unit lif penumpang di Blok A, enam (6) unit lif penumpang di Blok B dan satu (1) unit lif servis di Blok B. Projek ini telah berjaya disiapkan pada 24 November 2017, iaitu 7 hari lebih awal dari jadual dengan penjimatan kos projek sebanyak RM 37,100.00.

Dalam ucapan aluan, Ketua Pengarah Kerja Raya telah mengucapkan syabas kepada pasukan projek, iaitu Cawangan Kejuruteraan Mekanikal Ibu Pejabat JKR dan kontraktor, iaitu KCJ Engineering Sdn Bhd kerana melaksanakan projek dengan jayanya. Projek ini adalah mencabar kerana ia melibatkan kawasan pejabat yang masih beroperasi di mana pihak kontraktor hanya dibenarkan untuk melaksanakan kerja yang melibatkan bunyi bising di luar waktu pejabat.

Beliau menambah, komitmen dan kerjasama yang ditunjukkan oleh semua pihak yang terlibat membuktikan bahawa segala permasalahan boleh diatasi sekiranya kita memahami objektif, peranan, dan bersatu dalam mencapai objektif. Ibarat kata pepatah Inggeris “As a TEAM - Together Everyone Achieve More”. In JKR Together We Deliver”.